Sunday, November 30, 2014

2,000 Paku Dikeluarkan Dari Badan Seorang Wanita


Diterbitkan: Ahad, 30 November 2014 8:52 AM
Dr Sagiran Sukardi.

BANGI: Seorang pakar bedah dari Indonesia menjadikan kes terapi Islam sebagai pelengkap perubatan moden di hospital dengan mengeluarkan paku berkarat dari dalam badan seorang pesakit wanita, kononnya dipercayai menjadi mangsa ilmu sihir.

Dr Sagiran Sukardi menggambarkan bagaimana pemahamannya mengenai amalan perubatan dicabar ketika merawat wanita tersebut.

Dalam kes di Sumatera yang menjadi bualan ramai, lebih 2,000 paku dikeluarkan dari dalam badan seorang wanita berusia 25 tahun yang dikenali sebagai Supiyati.

"Sebagai seorang pakar bedah, saya tidak percaya kesakitan itu berpunca daripada sihir dan jin," katanya dalam forum bertajuk 'Jin dan Sihir' Dalam Perubatan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Dr Sagiran dari fakulti perubatan di Universiti Muhammadiyyah Yogjakarta berkata keadaan Supiyati mencabar logik perubatan.
Beliau menunjukkan kepada peserta forum beberapa keping gambar paku dibawah kulitnya dan X-ray kesan luka yang dialami Supiyati.
Kira-kira 75 peratus daripada peserta yang hadir terdiri daripada doktor dan pakar psikiatri manakala selebihnya adalah pakar akademik serta kumpulan penyelidik.
Pesakit itu pertama kalinya dibawa ke bilik kecemasan pada September 2012.

Dr Sagiran berkata, dalam pembedahan pertama, beliau mengeluarkan lebih 70 paku dari bahagian kakinya sebelum merawat luka tersebut.

"Amat memeranjatkan, sehari selepas pembedahan itu saya menjumpai lebih banyak paku dikawasan itu semula. Pada masa sama, saya tidak percaya ia ada kaitan dengan ilmu sihir," katanya.

Namun, beliau berkata selepas mendapat nasihat daripada rakan-rakan dan guru agama, dia kemudiannya menggunakan terapi Islam untuk merawat pesakit itu.
Menurut Dr Sagiran, dia mula membaca ayat suci Al-Quran ketika sedang membersihkan luka atau semasa gadis itu mengerang kesakitan.
Beliau berkata, selepas rawatan tersebut wanita berkenaan kemudiannya termuntah.
"Anda tidak boleh bayangkan tetapi lebih banyak paku dan rambut terkandung dalam muntahnya," kata Dr Sagiran.
Dr Sagiran berkata bekas suami Supiyati yang menghilangkan diri selepas dia menjalani rawatan tersebut dipercayai bertanggungjawab melakukan perbuatan sihir itu.
Katanya, kes itu menggambarkan keperluan terhadap pendekatan secara holistik termasuk rawatan kerohanian dan keagamaan di hospital.

Moderator forum UKM, Prof Madya Dr Supyan Hussin berkata penganjur tidak menentang cara perubatan moden.

"Namun terapi Islam boleh digunakan untuk merawat pesakit yang kesakitannya tidak dapat dikenal pasti," katanya.

Dr Supyan berkata terapi Islam tiada kaitan dengan ilmu hitam atau ilmu sihir yang bertentangan dengan Islam.

Beliau berkata, peserta mungkin akan meluluskan resolusi tersebut menerusi perbincangan dalam forum yang akan bersambung pada Ahad sebelum perkara itu dibawa kepada Kementerian Kesihatan.

No comments:

Post a Comment