Datuk Mohd Amar Nik Abdullah
Datuk Mohd Amar Nik Abdullah
KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan mahu Akta Hasutan digunakan secara berhemah dan bukan untuk kepentingan politik semata-mata.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, akta tersebut masih boleh dipertimbangkan jika digunakan untuk menjaga keharmonian masyarakat dan negara.

“Masalah utamanya sejak dahulu, undang-undang itu di salah guna oleh kerajaan untuk kepentingan politik dan menekan pembangkang. Isu yang sama berlaku kepada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebelum ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mohd Amar yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas I Kelantan berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung perkara tersebut.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden Umno dalam ucapan dasarnya di Perhimpunan Agung Umno kelmarin yang mengumumkan Akta Hasutan dikekalkan dan ditambah baik dengan memasukkan peruntukan baharu bagi melindungi kesucian Islam dan agama lain serta mendakwa mereka yang menghasut agar Sabah dan Sarawak keluar daripada Malaysia.

Malah, pembangkang atau mana-mana pihak tidak perlu bimbang sekiranya Akta Hasutan 1948 dikekalkan kerana ia hanya terpakai kepada individu yang cenderung menghasut sahaja.

Sementara itu, mengulas isu yang sama, Pengerusi PKR Kelantan, Ab Aziz Ab Kadir berkata, Najib telah hilang kewibawaan kerana tidak dapat mengotakan janji sebelum pilihan raya umum dahulu dan disifatkan sebagai tiada kekuatan diri.