Sunday, November 30, 2014

Pengekalan Akta Hasutan demi untuk Najib selamatkan diri


http://shahbudindotcom.blogspot.com/ | .
Secara umumnya hampir tiada yang menarik dalam ucapan perasmian Najib Razak di Perhimpunan Agung UMNO tahun ini. Isi dan isu yang ditimbulkan kelihatan lesu dan tiada yang baru.
Berbanding ucapan Muhyiddin Yassin ketika merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri sehari sebelumnya, ia jauh mengandungi isi yang menyedar dan menyegarkan seluruh ahli-ahli UMNO agar segera bangkit meneruskan perjuangan yang kian mencabar ini.
Malah ucapan Muhyiddin turut mendapat pujian banyak pihak yang menyifatkannya sebagai peringatan penuh bertanggungjawab untuk memulih dan mengembalikan kekuatan semula UMNO.
Satu-satu isu yang terus diperkatakan oleh ahli UMNO dan juga orangramai dalam intipati ucapan Najib tahun ini ialah tindakannya mengekalkan Akta Hasutan yang pernah dijanji untuk dihapuskannya sebelum ini. Pujian yang kedengaran juga mengenai ucapan Najib hanyalah mengenai tindakannya mengekalkan Akta Hasutan saja. Tidak terdengar ada pujian lain selain itu.
Walaupun kumpulan kanan dalam UMNO dan masyarakat memberi pujian dan sanjungan kepadanya berikutan pengekalan Akta Hasutan itu, tetapi adalah jelas Najib dilabel sebagai pemimpin yang mungkir dengan janjinya sendiri.
Meskipun tidak dinafikan pihak yang berbelah bagi selama ini kembali menyokongnya, tetapi Najib akan terus kehilangan sokongan rakyat biasa yang berpegang kepada janjinya sebelum ini. Kumpulan ini yang kebanyakannya daripada golongan bukan Melayu dan mereka yang tinggal di bandar, dipercayai akan terus menjauhi Najib berikutan tindakan mungkir janjinya itu.
Bahkan mungkin juga mereka tidak mempercayai lagi apa juga janji-janjinya selepas ini.
Dengan ini, Najib sekurang-kurangnya belajar satu perkara iaitu jangan mudah berjanji sesuka hati. Berjanji sesuka hati sebenarnya bukan saja merbahaya ketika memadu kasih atau sedang dilamun asmara tetapi juga dalam dunia politik. Ketika mengemukakan janji dahulu, Najib jelas terbuai dengan keinginan menjadi pemimpin yang liberal dan terbuka tetapi akhirnya terkulai kerana tekanan daripada dalam UMNO sendiri.
Jika dahulu beliau lebih berhati-hati sebelum melontarkan janji, tentulah keadaan tidak menjadi kalut seperti sekarang ini. Barangkali Najib kena menghayati lagu nyanyian Saloma "Apa Guna Berjanji" sebelum melontarkan janji-janjinya di lain kali.
Tetapi sesuatu yang tidak dapat dinafikan daripada tindakan Najib mengekalkan Akta Hasutan ini setelah berjanji untuk memansuhkannya sejak 2012 lagi ialah semata-mata untuk memastikan masa depannya terus kukuh dalam UMNO.
Oleh kerana rata-rata mereka dalam UMNO mahukan akta itu dikekalkan, ditambah dengan sokongan rakyat kepada UMNO yang tidak berubah serta penarikan balik sokongan oleh Mahathir Mohamad terhadapnya, jika Najib terus mahu memansuhkannya, ia tentu akan menyebabkan kedudukannya lebih mudah digoyang lagi.
Oleh kerana ingin terus mempertahankan kedudukannya, Najib terpaksa mengalah dengan keadaan yang tidak memihak kepadanya itu. Lebih-lebih lagi timbalannya, Muhyiddin Yassin turut lantang mahukan akta itu dikekalkan.
Kiranya gelombang penolakan ini tidak sekuat sekarang, sudah barang tentu Najib akan terus berpegang kepada janjinya untuk menghapuskan akta tersebut.
Ini juga tidak dapat ditolak ada kaitan dengan kemungkinan UMNO akan mengadakan pemilihannya pada 2016 iaitu sebelum berlangsungnya PRU14 dan tidak lagi menangguhkannya seperti biasa. Kalau pun pemilihan UMNO diadakan selepas pilihanraya umum, Najib tidak mahu sokongan terhadapnya lebih longgar lagi.
Ketika ini, gambarannya ialah Najib lebih rela kehilangan sokongan rakyat biasa yang menganggapnya sebagai seorang yang mungkir janji terlebih dahulu berbanding kehilangan terus sokongan dalam UMNO dan kumpulan kanan dalam masyarakat.
Mungkin selepas meraih semula sokongan dan kekuatan kumpulan kanan dalam UMNO dan masyarakat itu, beliau akan memikir cara lain pula untuk mengambil hati golongan yang kecewa dengan janji palsunya itu.
Tetapi, walaupun sudah membuat keputusan mengekalkan Akta Hasutan, Najib juga bakal terus ditekan lagi selepas ini agar mengembalikan semula ISA dan Ordinan Darurat yang sudah dimansuhkannya sebelum ini.
Dengan kejayaan kumpulan kanan mendesak sehingga Najib mengalah dan terus mengekalkan Aka Hasutan, adalah dipercayai gerakan agar dikembalikan ISA dan Ordinan Darurat akan lebih rancak lagi selepas ini. Mereka tidak akan berhenti setakat Akta Hasutan saja.
Adalah dipercayai selepas ini, demi mempertahankan kedudukannya, Najib akan terus berlembut dengan kumpulan kanan yang berada dalam UMNO dan juga dalam masyarakat. Semuanya demi memastikan kedudukannya dalam UMNO dapat diselamatkan terlebih dahulu. (SH 27/11/2014)

No comments:

Post a Comment