Reaksi perwakilan ketika mendengar ucapan penangguhan Presiden UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO 2014 di PWTC, semalam.
KUALA LUMPUR 29 Nov. - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berjanji akan memburu sesiapa sahaja yang menghasut dengan tujuan mencetuskan pergolakan dalam negara sebaik sahaja Akta Hasutan 1948 diperkasakan dengan dua elemen baharu.
Naib Presiden UMNO itu berkata, beliau tidak kisah jika tindakan tersebut dilabelkan sebagai hardcore mahu pun fundamentalis agama kerana baginya, empat perkara asas Perlembagaan iaitu Perkara 3, 181, 152 dan 153 tidak wajar dipersoal oleh sesiapa.
Walau bagaimanapun, dalam memerangi perbuatan menghasut tersebut, beliau menuntut kerjasama daripada seluruh agensi terlibat, khususnya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Jabatan Peguam Negara, bukan hanya dibebankan di bahu polis.
"Saya berjanji apabila Akta Hasutan 1948 ini diperkasakan, saya akan mengambil tindakan segera kepada pesalah-pesalah ini tetapi kita perlu kerjasama. SKMM kerjasamalah dengan kita, Jabatan Peguam Negara kerjasamalah dengan kita, jangan hanya bebankan polis.
"Adakah saya dianggap hardcore dan fundamentalis? Saya berada di sini dan diletakkan (ke jawatan) Menteri Dalam Negeri kerana sokongan semua," katanya dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2014, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.
Menyentuh isu sama, seorang lagi Naib Presiden, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, Akta Hasutan bukan hanya diperkasakan tetapi perlu dilaksanakan terutama mereka yang cuba membawa keluar Sabah dan Sarawak dari negara ini.
"Saya berharap akta ini bukan hanya diperkasakan malah tindakan perlu diambil kepada mana-mana pihak terutama usaha dari setengah pihak yang cuba hendak membawa Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia," katanya.
Seorang lagi Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pula menjelaskan, unit Bona Fide Friends of UMNO akan digerakkan bagi membantu kerajaan memperkemaskan usaha menambah baik Akta Hasutan.
Dalam masa sama, beliau yang juga Pengerusi Biro Perundangan UMNO memberitahu, gerakan yang bakal dilancarkan bersifat inklusif dengan melibatkan semua segmen di dalam masyarakat.
"Kita tidak ada masa lagi untuk berdiam diri kerana musuh-musuh kita di luar sana sedang menunggu," tegasnya.
No comments:
Post a Comment