Sunday, November 30, 2014

Senyum penuh makna Ketua Pembangkang Selangor...


http://shahbudindotcom.blogspot.com | .
Ada beberapa perkara menarik dalam pembentangan Belanjawan NegeriSelangor 2015 yang pertama kali dilakukan oleh Menteri Besar, Azmin Ali, hari ini. Dengan peruntukansebanyak RM2.42 bilion berbanding hasil sebanyak RM1.97 bilion yang dijangka pada tahun depan, ia menyerlahkan hasrat kerajaan negeri untuk tidak berkira dalam berbelanja demi kepentingan rakyat. 
Walaupun dikira belanjawan defisit, tetapi ia juga merupakan yang terbesar sepanjang pemerintahan PR sejak 2008.
 
Buat julung kalinya  juga peranan Ketua Pembangkang di DUN Selangor diiktiraf oleh kerajaan negeri dengan pemberian sebuah kereta rasmi, Toyota Camry beserta pembiayaan petrol dan tol, elaun RM3,000 sebulan, gaji pemandu sebanyak RM1,367 dan RM2,001 lagi untuk bayaran seorang setiausaha kerja.
 
Ketua Pembangkang yang juga Adun BN Sungai Burung, Shamsuddin Lias kelihatan tersenyum lebar ketika menerima pemberian kereta  dan segala kemudahan itu daripada Azmin sambil disaksikan oleh Speaker, Hannah Yeoh.
 
Sambil menghargai sumbangan dan pengiktirafan itu serta berjanji akan memberi sumbangan yang sebaiknya, Shamsuddin juga tentunya akan lebih bergaya ke Perhimpunan Agung UMNO tahun ini kerana walaupun UMNO dan BN merupakan pembangkang di Selangor tetapi beliau turut juga mendapat nikmat daripadanya.
 
Selain kemudahan untuk Ketua Pembangkang itu, kerajaan negeri pimpinan Azmin juga bermurah hati memperuntukkan RM200 ribu setahun kepada setiap ADUN BN untuk melaksanakan projek-projek pembangunan di kawasan masing-masing.
 
Peruntukan ini sekaligus menjadikan pengundi di kawasan yang diwakili oleh Adun BN terus menikmati pelbagai kemudahan pembangunan, meskipun hanya menjadi pembangkang.
 
Pembaharuan ini tentunya menaikkan lagi nama Azmin dan PR di mata pengundi Selangor.  Bukan saja di negeri lain, bahkan di peringkat Pusat sekali pun, wakil rakyat pembangkang tidak pernah diberikan peruntukan oleh kerajaan yang memerintah.
 
Dengan sendirinya, walaupun Noh Omar semalam mengatakan beliau terus diberi mandat untuk mengetuai UMNO Selangor oleh Najib Razak di sebalik pelbagai kritikan dan kekecewaan tentang prestasinya, harapan beliau pastinya semakin sukar dengan tindakan terbaru Azmin ini.
 
Pengundi Selangor kini melihat kerajaan PR di Selangor paling terbuka dan memahami erti demokrasi dalam ertikata yang sebenarnya. Kecuali berlaku sesuatu yang diluar dugaan, secara realitinya kerajaan PR di Selangor semakin kukuh dan sukar ditumbangkan.
 
Shamsuddin Lias juga barangkali lebih suka PR terus kekal mentadbir Selangor kerana kedudukannya sebagai Ketua Pembangkang itu lebih baik bagi dirinya berbanding jika BN yang memenangi pilihanraya. Jika BN yang menang pilihanraya, beliau bukan saja tipis untuk dipilih sebagai Menteri Besar, malah sebagai Exco pun belum tentu lagi.
 
Sebab itu, sengih dan senyumnya cukup lebar ketika menerima kemudahan itu daripada Azmin Ali. (SH 24/11/2014)
 
Semasa BN menang, jangankan nak jadi Menteri Besar, jawatan Exco pun tak merasa...
 

No comments:

Post a Comment