Walaupun baru diperkenalkan tahun lalu, namun pertandingan yang dikenali sebagai Anugerah Dunia Muslimah itu berjaya menarik perhatian 18 orang finalis dari seluruh dunia untuk tampil memperagakan pakaian Muslimah pada acara itu.
Bagaimanapun, kesemua finalis yang terdiri daripada doktor dan pakar komputer itu dikehendakki memakai tudung dan tidak akan diadili hanya berdasarkan penampilan mereka, tetapi kelancaran mereka membaca al-Quran serta pandangan mereka tentang Islam di dunia moden.
“Kami mahu melihat bahawa mereka faham segala-galanya tentang cara hidup Islam daripada cara makan, berpakaian dan cara mereka mencorak kehidupan mereka,’’ kata seorang daripada penganjur acara itu, Jameyah Sheriff.
Anugerah Dunia Muslimah mula diperkenalkan pada tahun lalu sebagai bantahan aman kepada penganjuran Miss World di Bali dan diadakan pada tarikh yang sama di pusat peranginan tersebut.
Walaupun Miss World masih popular di banyak negara, namun pertandingan itu sering dikecam kerana merendahkan martabat wanita sehingga pada satu tahap mengkehendakki pesertanya memakai pakaian mandi.
Seorang peserta Anugerah Dunia Muslimah dari Britain, Dina Torkia berkata, dia berharap pertandingan itu pada tahun ini bukan sahaja menyajikan perbezaan berbanding dengan Miss World, malah ia dapat menghapuskan prejudis masyarakat terhadap Islam.
“Saya berpendapat, perkara paling penting adalah untuk menunjukkan bahawa kami merupakan gadis biasa, kami tidak berkahwin dengan pengganas. Tudung yang kami pakaipun bukanlah perkara yang mengerikan,’’ katanya.
Bagaimanapun, Anugerah Dunia Muslimah kali ini mendapat cabaran hebat selepas tujuh finalis menarik diri daripada acara itu dengan peserta lain berdepan masalah birokrasi untuk mendapatkan visa memasuki Indonesia.
Jameyah berkata, kebanyakan peserta menarik diri kerana ahli keluarga mereka tidak mahu mereka pergi ke Indonesia bersendirian.
– AFP