Saturday, November 22, 2014

Penangkapan nelayan: Wisma Putra belum terima notis konsular

KUALA LUMPUR: Kementerian Luar melalui perwakilan Malaysia di Indonesia belum menerima sebarang notis konsular secara rasmi berhubung penangkapan 200 nelayan Malaysia yang didakwa menangkap ikan secara haram di perairan Indonesia.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia telah menghubungi Kementerian Luar Negeri Indonesia untuk mendapatkan pengesahan terutamanya berkaitan maklumat pengenalan diri dan lokasi penahanan nelayan Malaysia tersebut.
"Sekiranya mereka disahkan rakyat Malaysia, bantuan konsular sewajarnya dihulurkan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) juga tidak menerima sebarang notis penangkapan nelayan berkenaan daripada pihak berkuasa Indonesia dan Kementerian Luar serta APMM sedang memantau perkembangan tentang isu penahanan ini.
Anifah berkata, Malaysia dan Indonesia menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Garis Panduan Bersama Tentang Pelayanan Terhadap Nelayan oleh Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia dan Indonesia, yang dimeterai pada 27 Januari 2012.
Menerusi MOU itu, kedua-dua negara mencapai kata sepakat hanya akan mengusir dan tidak menangkap nelayan yang didapati menangkap ikan di persempadanan maritim Malaysia-Indonesia.
Anifah turut mengulas dakwaan Presiden Joko Widodo yang dipetik sebagai 'memberi arahan supaya kapal-kapal nelayan asing yang memasuki perairan Indonesia secara haram akan dikaramkan, manakala anak-anak kapal diselamatkan' sebagai amaran keras kepada nelayan terbabit.
"Saya tidak percaya bahawa ini adalah suatu kenyataan yang telah dikeluarkan oleh seorang presiden dan akan siasat dakwaan ini," kata Anifah.
Sehubungan itu, beliau berkata kementerian akan terus memantau perkembangan isu ini dan sentiasa bersedia memberi khidmat serta bantuan konsular bagi menjaga kebajikan dan keselamatan warga negara Malaysia di luar negara.
Hari ini beberapa media tempatan melaporkan bahawa pihak berkuasa Indonesia menahan 200 nelayan Malaysia yang didakwa menangkap ikan secara haram di perairan Indonesia.
Menurut laporan itu, Setiausaha Kabinet, Andi Widjajanto berkata tangkapan itu adalah sebahagian daripada operasi mencegah penangkapan ikan secara haram oleh pihak berkuasa Indonesia yang bermula sejak 17 November lalu.
Di SERDANG, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata tiada sebarang laporan tentang nelayan tempatan hilang untuk dikaitkan dengan laporan penahanan 200 nelayan yang didakwa rakyat Malaysia di perairan Indonesia.
Ini, katanya, berdasarkan laporan Jabatan Perikanan setiap negeri di Semenanjung sehingga kini yang memeriksa setiap keluarga nelayan jika terdapat kehilangan anggota keluarga mereka.
"Sekarang ini kita sedang memeriksa dengan keluarga nelayan di Sabah dan Sarawak. Kita juga tiada sebarang laporan yang sahih daripada kedutaan kita di sana bagi mengaitkan tangkapan tersebut dengan warga negara Malaysia, yang ada hanya laporan media," katanya.
Ismail Sabri sebelum itu menghadiri majlis menandatangani MoU Kerjasama dalam bidang pertanian antara Malaysia dan Myanmar bersempena Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro-Pelancongan Malaysia 2014.
Myanmar diwakili Menteri Pertanian dan Pengairannya U Myiant Hlaing.
Ismail Sabri juga tidak menolak kemungkinan nelayan yang ditangkap bukan rakyat Malaysia namun kapal digunakan didaftarkan di Malaysia dengan menggunakan nama warga tempatan serta bendera Malaysia.
Ketika diminta mengulas tindakan tegas yang ingin dikenakan kerajaan Indonesia terhadap 200 nelayan itu jika benar mereka adalah warga Malaysia, beliau berkata perkara itu tidak akan menjejaskan hubungan antara kedua-dua negara.
"Kalau benar ada pencerobohan nelayan maka itu adalah kewajaran tindakan mereka tetapi mengikut perjanjian jika kawasan itu adalah tuntutan bertindih maka nelayan yang masuk ke kawasan itu hanya akan dihalau keluar," katanya.
Mengenai MoU itu, Ismail Sabri berkata ia bagi mempertingkatkan kemajuan dalam industri tanaman, ternakan dan perikanan kedua-dua negara yang seterusnya dapat menyokong transformasi sektor pertanian Malaysia.
"Kerjasama ini juga akan menjadi landasan bagi mempromosikan aktiviti komersial dan perdagangan antara sektor swasta Malaysia dengan Myanmar dalam bidang-bidang yang berkaitan," katanya.
- BERNAMA

No comments:

Post a Comment