HALEEDA mahu terus abdiikan diri kepada dunia seni.
MULA bertapak 24 tahun lalu di persada seni hiburan tempatan, nama Haleeda Othman, 41, kebelakangan ini mula menjadi sebutan selepas wajahnya mula membintangi beberapa drama di kaca televisyen tempatan, selain kembali mewarnai pentas muzik tanah air.
Pun begitu, bekas isteri kepada pemain bola sepak kebangsaan, Azman Adnan ini pernah suatu ketika agak lama mendiamkan diri tanpa sebarang publisiti dalam bidang seni gara-gara memberi sepenuh perhatian terhadap puteri tunggalnya, Amirah Amani, 20.
Menurut penyanyi yang popular menerusi lagu Setia Kasih itu, bergelar ibu tunggal bukannya satu tugas mudah untuk digalas, malah ia juga tidaklah begitu membebankan andai bijak mencari peluang meneruskan kelangsungan hidup.
“Semua ini adalah ujian yang Allah turunkan kepada saya untuk menguji hamba-Nya. Saya tidak mengeluh kerana Dia tahu saya boleh hadapinya sebaik mungkin. Alhamdulillah, saya diberi kekuatan bagi mengatasi apa jua masalah yang timbul.
“Sehingga hari ini, saya bersyukur kerana diberi banyak peluang untuk berdikari meneruskan kelangsungan hidup bersama Amirah. Sepi tanpa seni bukan bermakna saya terus bersara, tetapi tetap aktif mencari rezeki demi membesarkan anak serta memastikan masa depannya terjamin.
“Saya cuba berikan yang terbaik untuk Amirah termasuklah menghantarnya menyambung pelajaran ke peringkat tertinggi. Berbekalkan ilmu pendidikan yang ditimbanya, diharap ia boleh dijadikan bekalan hari dewasanya kelak. Saya puas lihat dia membesar di hadapan mata sendiri,” jelas Haleeda.
Pada masa yang sama, sementelah hanya tinggal berdua dengan anaknya itu, Haleeda memberitahu bahawa dia sudah biasa dengan keadaan tersebut dan tidak pernah memikirkan untuk kembali mengikat tali perkahwinan dengan sesiapa pun.
Walaupun kadang-kadang mengakui berasa keseorangan berada di rumah tatkala anaknya meneruskan pengajian di Institut Teknologi Perak, Haleeda selesa dengan statusnya.
“Bagi menghilangkan rasa sunyi, saya habiskan kebanyakan masa di pusat gimnasium. Di samping itu, pada usia sebegini, saya cuba mengekalkan stamina yang baik demi menjalankan kerja-kerja harian. Dunia seni adalah punca utama rezeki saya. Jadi, saya perlukan tubuh badan yang sihat dan cergas agar tidak membantutkan usaha menjana pendapatan,” ujar wanita yang masih kelihatan anggun ini.
No comments:
Post a Comment