Sunday, November 2, 2014

Bagaimana harta wakaf jatuh ke tangan bukan Islam


HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan  Islam Malaysia (Mapim) mengambil perhatian bahawa Majlis Agama Islam diamanahkan menjaga tanah wakaf.

Oleh itu, kata Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid adalah wajar harta wakaf yang telah jatuh ke tangan orang bukan Islam perlu diambil balik oleh Majlis Agama Islam.

"Kecuaian dan penyelewengan menguruskan hartanah wakaf mestilah diperbetulkan dan mereka yang bertanggungjawab diambil tindakan sewajar," tegasnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Kenyataan penuh beliau seperti di bawah.

Majlis Perundingan Pertubuhan  Islam Malaysia (Mapim) menggesa selain isu Tanah Rizab Melayu yang semakin mengecil, pihak kerajaan juga perlu  segera atasi isu pembangunan harta wakaf demi memastikan aset ummah tidak terbiar dalam keadaan tidak produktif.

Status pendafataran  tanah wakaf yang tidak jelas dan berlaku penyelewengan yang menyalahguna tanah wakaf menyebabkan aset umat Islam banyak yang tidak produktif, terbiar dan ada yang berpindah tangan kepada pihak yang tidak sepatutnya.

Kerajaan belum nampak bersungguh menjaga aset tanah wakaf sehingga pelbagai saranan yang dikeluarkan dalam seminar dan persidangan belum lagi memperbaiki status pengurusan tanah wakaf sebagaimana yang diharapkan.

Kami mendapati masih lagi terdapat pemegang-pemegang  hartanah wakaf yang tidak terurus dan terbiar.

Badan yang bertanggungjawab  mendaftar dan semua tanah wakaf belum mengemaskini data dan kondisi tanah wakaf yang ada sekarang. Hartanah wakaf yang dipegang oleh berbagai pemegang menyebabkan harta tanah tersebut ditadbir secara berasingan tanpa keseragaman pengurusan dan pembangunannya.

Masalah yang perlu diberi perhatian ialah Kanun Tanah Negara (KTN)  tidak mengujudkan suatu bab khas mengenai tanah wakaf dan segala peraturan yang perlu untuk menjaga pembangunan tanah wakaf. KTN dalam Bab 30 hanya mencatat mengenai kebenaran mendaftarkan tanah wakaf.  Sepatutnya  klausa yang jelas perlu diwujudkan untuk memastikan peraturan dan kaedah pendaftaran yang cepat, murah dan mudah sekaligus peruntukan undang-undang dinyatakan mengenai peraturan pembangunan tanah wakaf.

Wakaf adalah terkeluar daripada senarai 1, senarai Persekutuan di bawah Perlembagaan. Dengan itu untuk mewujudkan keseragaman, undang-undang mengenai wakaf hendaklah dibuat mengikut perlembagaan, perkara 76 (1)(B).

Pelbagai masalah dalam ketetapan jenis wakaf masih wujud. Ketetapan jenis wakaf selalunya dirujuk kepada surat cara tanah wakaf yang disimpan di bank. Sesetengah surat cara tidak dapat dibaca sebab terlalu kabur. Ini menimbulkan masalah bila ada tuntutan-tuntutan hak dari pewaris. Tuntutan ini menyukarkan usaha-usaha membangunkan tanah wakaf.

Kekaburan juga boleh menyebabkan cadangan pembangunan atau kemajuan yang dilakukan ke atas tanah wakaf bercanggah dengan maksud wasiat atau pewakaf.

Di samping itu  ada lagi masalah tambahan iaitu kekurangan dana untuk tujuan pengurusan hartanah wakaf. Kekurangan kewangan atau modal adalah satu masalah utama untuk membangunkan tanah wakaf. Sumber kewangan Majlis Agama Islam amat terhad.

Perkara ini disebabkan kebanyakan hasil pendapatan dan harta wakaf digunakan untuk perbelanjaan pengurusan wakaf. Perbelanjaan bagi penyelenggaraan, pembaikan dan pentadbiran wakaf kadang kala melebihi daripada pendapatan tahunan untuk sesuatu wakaf. Sumber kewangan daripada kerajaan pusat atau negeri tidak diperolehi untuk kos penyelenggaraan.

Pendapatan dari sewa hartanah wakaf yang diperolehi Majlis Agama Islam, terpaksa diagihkan untuk membayar cukai pintu kepada kerajaan tempatan. Sementara itu pula kadar sewa  yang  terlalu  rendah  dan terdapat tunggakan  sewaan telah membebankan Majlis Agama Islam untuk mengurus hartanah wakaf dengan berkesan. Tanpa kakitangan yang mencukupi, pungutan sewaan tidak dapat dilakukan. Manakala sistem kutipan sewaan agak lemah, di samping ketiadaan penguatkuasaan yang berkesan.

Kami juga mendapati pengurusan harta wakaf  tidak mendapat kerjasama daripada badan-badan berkanun seperti Uda, Mara, Tabung Haji, Permodalan Nasional Berhad dan lain-lain.

Pihak bank dan institusi kewangan Islam dan koperasi juga agak keberatan memberi kerjasama. Bank melayan Majlis Agama Islam  sama seperti sebuah syarikat perniagaan tanpa mengambil pertimbangan untuk memberi pinjaman tanpa riba dengan kadar bayaran pinjaman yang berpatutan demi membangun tanah-tanah wakaf untuk kepentingan ummah.

Terdapat beberapa isu lain lagi yang menghalang pembangunan harta wakaf iaitu:

1. Isu halangan fizikal: Iaitu masalah penempatan semula penduduk jika pembangunan hendak dilaksanakan ke atas satu-satu tapak tanah wakaf.

2. Isu pengetahuan mengenai pembangunan tanah wakaf iaitu pengetahuan masyarakat mengenai harta wakaf amat terbatas. Perkara ini menyebabkan keengganan penduduk memuliakan pembangunan tanah wakaf.

3. Isu nilai tanah iaitu nilai tanah yang tinggi telah menyulitkan lagi pembangunan hartanah wakaf yang terpaksa dibeli balik kerana telah terlepas ke tangan orang bukan Islam.

4. Isu Pembangunan dan Persekitaran: Kebanyakan bangunan di atas tanah-tanah wakaf adalah dalam keadaan buruk dan usang. Susunan rumah-rumah terlalu rapat dan kebanyakannya diperbuat daripada kayu dan zink.

5. Isu sistem pungutan sewa yang tidak sistematik dan kurang kawalan: Kakitangan yang tidak cukup mengakibatkan masih terdapat banyak lagi tanah wakaf yang belum diproses pindah milik kepada pihak Majlis Agama Islam. Kekurangan data yang lengkap mengenai tanah-tanah wakaf dan penghuni-penghuninya menyebabkan sewa tidak dipungut. Kekurangan kakitangan juga telah menyulitkan pungutan sewaan ke atas bangunan-bangunan yang penghuninya diketahui.

6. Isu penyewa hartanah wakaf oleh bukan Islam. Terdapat harta wakaf disewa kepada orang bukan Islam. Padahal pewakaf telah mengamanahkan harta wakafnya digunakan untuk pembangunan ummah dan bukan sebaliknya.

7. Isu ketiadaan objektif dan matlamat yang jelas. Konsep pembangunan tanah wakaf untuk jangka pendek dan jangka panjang tidak jelas. Manakala Majlis Agama Islam tidak mempunyai suatu program atau cadangan pembangunan yang jelas, sama ada  dalam jangka pendek mahupun program jangka panjang untuk merancang pembangunan tanah wakaf.

8. Isu tanggapan negatif ke atas pembangunan yang dicadangkan oleh Majlis  Agama Islam iaitu keengganan penghuni menerima cadangan pembangunan kerana mempunyai kepentingan tertentu yang khuatir kepentingan mereka akan hilang.

Kami mengambil perhatian bahawa Majlis Agama Islam diamanahkan menjaga tanah wakaf. Oleh itu adalah wajar harta wakaf yang telah jatuh ke tangan orang bukan Islam perlu diambil balik oleh Majlis Agama Islam. Kecuaian dan penyelewengan menguruskan hartanah wakaf mestilah diperbetulkan dan mereka yang bertanggungjawab diambil tindakan sewajar.

Kami amat kesal wujud tanah tanah wakaf yang telah disalahguna dan telah terlepas kepada pihak bukan Islam yang menyalahi dan bertentangan dengan niat pewakaf. Harta pewakaf mestilah dilindungi untuk meneruskan ketakwaannya kepada Allah SWT. -HARAKAHDAILY 2/11/2014

No comments:

Post a Comment