Wednesday, November 19, 2014

Banggol Donas: Kroni dijaga, tanah penduduk dirampas


ANIS NAZRI | .

KUALA LUMPUR: Hanya untuk menjaga kepentingan pihak tertentu, 22 penduduk Kampung Banggol Donas kini diselubungi keresahan dan kebimbangan kediaman mereka dirobohkan bila-bila masa.

Kebimbangan itu ekoran projek pembinaan jalan yang sedang giat dilakukan kini sudah semakin menghampiri kampung mereka, yang akhirnya akan menyebabkan mereka bakal kehilangan tanah dan kediaman.

Biarpun penduduk telah mengemukakan rayuan agar jajaran ditukarkan dan dipersetujui kerajaan negeri, pihak pemaju masih enggan mengubah jajaran tersebut.

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat berkata penduduk mencadangkan dua laluan alternatif yang tidak melibatkan banyak rumah kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).

Difahamkan, jajaran alternatif pertama lebih pendek serta melibatkan hanya lima buah rumah sahaja, tetapi melalui tanah milik keluarga bekas Jawatankuasa Kerja Kampung (JKKK).

Manakala, jajaran alternatif kedua pula melalui tanah kosong, serta tiada rumah yang terlibat tetapi melalui tanah milik syarikat korporat, namun rayuan itu tidak dilayan pihak kerajaan,

Dalam masa sama, projek itu dijalankan tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan iaitu Akta Pengambilan Tanah 1960 (Akta 486) apabila projek ini tidak diwartakan bawah Seksyen 4 (bahawa tanah kemungkinan diambil) sebelum memulakan projek.

"Pekeliling Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (Bil 1/Tahun 2003) menetapkan bahawa agensi yang memerlukan tanah bagi sesuaatu projek hendaklah mencari dan menentukan tapak atau jajaran yang sesuai dua tahun sebelum pelaksanaan projek.

"Bagaimanapun, projek telah berjalan pada 18 Julai 2010, sedangkan ia diwartakan pada 18 Oktober 2010," tegas beliau pada satu sidang media, di Pejabat Agung PAS petang tadi.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kg Banggol Donas, Salleh Embong berkata perjuangan bagi memastikan tanah warisan mereka tidak diceroboh akan terus dilakukan.

Katanya, pihak penduduk kampung telah mengemukakan injunksi di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu dan perbicaraan mengenainya akan berlangsung pada 25 Nov akan datang.

Beliau juga mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar segera bertindak memandangkan kerajaan negeri pernah menyatakan persetujuan untuk menukar jajaran tersebut, namun tidak diendahkan pemaju.

"Senang cerita, dalam kes ini pemaju menang dan lebih besar dari kerajaan negeri. Mungin ada tangan-tangan ghaib di sebalik semua ini, itu saya tidak tahu," kata beliau dengan nada kesal.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Shah, menegaskan sekiranya kerajaan benar-benar mempunyai kesungguhan, isu berkaitan tanah kampung warisan ini boleh diselesaikan.

Namun, tegasnya kerajaan dilihat tidak bersungguh-sungguh dalam menyelesaikan isu-isu berkaitan yang menyebabkan rakyat diancam dan tertindas.

Turut serta pada sidang media tersebut ialah wakil Pertubuhan Prihatin Asnaf Anak Terengganu (Bantu) dan Gerakan Anak Terengganu Insaf (Ganti).  - HARAKAHDAILY 19/11/2014

No comments:

Post a Comment