Nurfaten sedang memberi susu kepada Nur Maisara.
Nurfaten sedang memberi susu kepada Nur Maisara.
KLUANG - Seorang bayi, Olivia Nur Maisara Naqiu Fitri, 1, kuat melawan penyakit yang dihidapinya sejak berusia dua minggu selepas dilahirkan.

Bayi yang lebih mesra dengan panggilan Nur Maisara itu menghidap penyakit dikenali ‘hydrocephalus’ yang menyebabkan saiz kepalanya lebih besar daripada bayi biasa.

Menurut ibunya, Nurfaten Mohd Yusoff, 25, anak bongsu daripada lima beradik itu dilahirkan pada 17 November 2013 dalam keadaan sihat tanpa sebarang penyakit namun selepas dua minggu doktor mensyaki anaknya mempunyai masalah pada kepala berikutan saiznya yang agak luar biasa.

Jelasnya, apabila mencecah dua bulan keadaan kepala anaknya semakin membesar dan doktor terpaksa menjalankan pembedahan bagi mengeluarkan air yang terkandung di kepala anaknya itu.

“Selepas pembedahan dijalankan, kepala anak saya semakin membesar, tetapi perkembangan dan tumbesaran anak saya adalah normal.

“Hanya saiz kepalanya yang membimbangkan, namun saya bersyukur tahap kesihatan anak saya memuaskan dan apabila buat pemeriksaan beratnya sentiasa naik.

“Apabila saya bagi makan nestum dan susu Nur Maisara sangat berselera,” katanya kepada Sinar Harian di kediamannya di Jalan Kiaramas, Taman Kiaramas, di sini, semalam.

Nurfaten berkata, pihak hospital pernah mencadangkannya menjalankan pembedahan sekali lagi ke atas anaknya namun dia enggan kerana tidak mahu mengambil risiko.

Menurutnya, sekiranya pembedahan dijalankankan peratusan untuk anaknya sembuh sepenuhnya agak tipis dan kini dia hanya menggantung harap dengan ubat yang diberikan oleh seorang doktor bagi mengecutkan saiz kepala anaknya.

“Selepas anak saya makan ubat yang dicadangkan itu keadaan kepada anak saya semakin mengecil dan tidak menegang seperti dahulu.

“Walaupun tidak nampak terlalu ketara perubahannya namun saya bersyukur dengan perubahan ini dan saya serta suami sanggup berhabis wang ringgit demi menyembuhkan anak saya ini,” katanya.

Menurutnya, masalah kesempitan wang sering dialami kerana hanya suaminya, Naqiu Fitri Abdullah, 32, yang bekerja menyara keluarga dengan pendapatan RM1,800 sebulan.

Nurfaten berkata, ia digunakan untuk membayar sewa rumah RM200 sebulan, membayar bil eletrik dan air serta menanggung tiga anak yang bersekolah.

“Kami tidak penah mendapat bantuan daripada mana-mana agensi terutama untuk perubatan anak saya.

“Saya harap ada pihak yang sudi hulur bantuan bulanan bagi meringankan beban kami sekeluarga,” katanya.