LADDAWAN TONG-KEAW atau Pink menolak tawaran Kim Kardashian untuk menjadi anak angkat selebriti itu. – AGENSi
Mail Online me­laporkan, gadis ber­kenaan, Laddawan Tong-Keaw atau le­bih dikenali sebagai Pink berkata, dia gembira apabila mende­ngar hasrat Kardashian itu, namun lebih ber­minat untuk belajar di negara asalnya dan membantu penduduk miskin di wilayah Phang Nga.
“Saya berasa sa­ngat gementar apabila mengetahui Kardashian mahu menjadikan saya sebahagian daripada kehidupannya. Saya sa­ngat gembira dan perkara ini akan me­ngubah kehidupan saya.
“Semua orang mahukan kehidupan yang baik, begitu juga saya. Saya melihat perkara ini (menjadi anak angkat) tidak baik untuk saya kerana saya terpaksa meninggalkan banyak perkara di sini dan saya belum bersedia untuk berubah,” jelas Pink yang menyifatkan Kardashian sebagai wanita yang budiman.
Hasrat mengambil anak angkat itu dinyatakan oleh ibu seorang anak tersebut selepas dia bersama krew penerbitan Keeping Up with The Kardashians mengadakan lawatan ke rumah perlindungan kanak-kanak miskin di wilayah Phang Nga April lalu.
Kardashian berkata, dia tidak mempunyai sebarang maksud tersirat ketika menyatakan hasrat untuk menjadikan Pink sebagai anak angkat kerana apa yang dilakukan adalah untuk mengubah kehidupan gadis berusia 13 tahun itu.
“Saya tidak boleh melupakan dia. Saya ada memberitahu suami saya tentang Pink yang begitu comel dan baik. Saya sangat berminat untuk menjadikan dia sebagai anak angkat,” ujarnya.