Anggota keselamatan Kurdis memeriksa lokasi letupan bom di Arbil, wilayah Kurdistan di Iraq, kelmarin. Iraq muncul negara paling banyak mencatat insiden keganasan sepanjang tahun lalu. – REUTERS
WASHINGTON 20 Nov. - Institut Ekonomi dan Keamanan (IEP) melalui laporan Indeks Keganasan Global menyatakan, kematian akibat kegiatan keganasan di seluruh dunia meningkat sebanyak 61 peratus pada tahun lalu, pertambahan lima kali ganda sejak tahun 2000.
Akhbar Washington Post melaporkan, sepanjang tahun lalu, sebanyak 17,958 kematian akibat kegiatan keganasan dicatatkan di 60 buah negara, dengan 80 peratus daripadanya berlaku di lima buah negara iaitu Iraq dengan 6,362 kematian, Afghanistan (3,111), Pakistan (2,345), Nigeria (1,826) dan Syria (1,078).
Menurut IEP, kelima-lima buah negara terbabit turut mengalami peningkatan drastik dalam kes jenayah keganasan sebagai contoh Iraq yang mengalami peningkatan sebanyak 162 peratus di antara tahun 2012 hingga tahun lalu.
Selain lima buah negara yang telah dinyatakan, India turut mencatatkan jumlah kematian yang tinggi dengan 404 kematian daripada 624 serangan.
Sementara itu, negara-negara maju yang menyertai Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) tidak mencatatkan kematian yang tinggi akibat kegiatan pengganas.
“Negara anggota OECD yang mencatatkan kematian yang tinggi pada tahun lalu adalah Turki apabila berlakunya 34 serangan pengganas dan 57 kematian, manakala AS hanya mengalami sembilan serangan dan enam kematian,” jelas IEP.
United Kingdom (UK) turut mencatatkan serangan pengganas yang tinggi iaitu 131 serangan, namun kebanyakannya merupakan serangan berskala kecil yang berlaku di Ireland Utara dan hanya menyebabkan tiga kematian.
Bagaimanapun, serangan yang dilancarkan ke atas penduduk di Palestin tidak dicatatkan dalam laporan berkenaan.
Walaupun begitu, laporan yang dikeluarkan oleh IEP dilihat sedikit kontroversi kerana sehingga kini tiada definisi khusus yang digunakan untuk mengambarkan kegiatan keganasan, selain istilah tersebut sering dipolitikkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
No comments:
Post a Comment