Calon anggota polis wanita perlu menjalani ujian mengesan dara sebelum menyertai pasukan keselamatan itu. – AFP
JAKARTA 20 Nov. – Polis Republik Indonesia (Polri) mempertahankan tindakan mengadakan ujian mengesan dara ke atas wanita yang ingin menyertai pasukan keselamatan itu yang bertujuan mengenal pasti kemampuan stamina dan moral anggotanya.
Menurut Ketua Hukum Ibu Pejabat Polri, Jeneral Moechgiyarto, ujian itu hanya dilakukan oleh doktor wanita di hospital-hospital di bawah kendalian polis dan merupakan prosedur biasa yang diamalkan.
“Prosedur ini sudah lama dipraktikkan. Kami perlu mengenal pasti kualiti calon anggota polis dengan melakukan ujian mengesan dara,” katanya seperti dilaporkan akhbar The Jakarta Post hari ini.
Moechgiyarto menegaskan, objektif utama ujian berkenaan dilakukan adalah untuk memastikan setiap polis kadet wanita memiliki nilai moral yang tinggi.
“Seandainya calon tersebut seorang yang tidak bermoral, bagaimana boleh dia menjadi anggota polis,” katanya lagi.
Beliau berkata, ujian mengesan dara perlu dilakukan kerana sebelum ini Polri pernah menerima penyertaan seorang polis wanita yang baru bekerja dua bulan dan kemudiannya disahkan hamil.
Bagaimanapun Moechgiyarto berkata, Polri juga akan tetap menerima calon anggota polis wanita khususnya mereka yang memiliki kemahiran dan ketangkasan mempertahankan diri sekalipun sudah tidak mempunyai dara lagi.
Sebelum ini, pertubuhan Human Right Watch (HRW) mendesak Polri menamatkan prosedur mengesan dara wanita yang ingin menyertai pasukan keselamatan negara itu yang disifatkan sebagai diskriminasi.
HRW yang berpusat di New York, Amerika Syarikat dalam kenyataannya berkata, berdasarkan laporan ujian mengesan dara Polri itu, doktor wanita memasukkan dua jari ke dalam vagina calon yang ditemu duga untuk mengesan status dara mereka.
Beberapa polis wanita serta polis kadet dalam reaksi mereka pula memberitahu, tindakan memasukkan dua jari dalam ujian itu sangat memalukan dan menyebabkan trauma selain terpaksa menahan sakit.
Moechgiyarto berkata, mana-mana calon yang tidak memiliki dara tidak semestinya ditolak mentah-mentah dalam proses pemilihan calon anggota polis wanita. – UTUSAN
No comments:
Post a Comment