Friday, November 21, 2014

SapuraKencana beli aset minyak PETRONAS di Vietnam

JUMAAT, 21 NOVEMBER 2014 @ 10:39 AM

 
KUALA LUMPUR: SapuraKencana Petroleum Bhd memenangi bidaan membeli keseluruhan kepentingan dalam aset PETRONAS di tiga blok luar pantai di selatan Vietnam dengan harga AS$400 juta (RM1.35 bilion).

Tarikh kuat kuasa ekonomi urus niaga itu ialah pada 1 Januari 2014, kata SapuraKencana dalam satu kenyataan malam tadi.

Syarikat itu layak mendapat hasil bersih daripada blok-blok berkenaan bermula daripada tarikh itu.

SapuraKencana dipilih menerusi proses bidaan kompetitif antarabangsa yang diurus secara profesional.

Pembelian tiga kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) di Vietnam itu menandakan satu pencapaian penting bagi SapuraKencana, dan mengukuhkan lagi kedudukannya di negara itu dengan menambah operasi penerokaan dan pengeluaran kepada operasi perkhidmatan sedia adanya.

Pembelian itu adalah bagi 50 peratus kepentingan PETRONAS dalam Block 01/97 dan 02/97 (Cuu Long Basin), 40 peratus dalam Block 10 dan 11.1 (Nam Con Son Basin) dan 36.85 peratus dalam Block 46-Cai Nuoc (Malay-Tho Chu Basin).

Blok-blok berkenaan terletak di luar pantai perairan cetek selatan Vietnam. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment