Tuesday, December 16, 2014

Angela Merkel dalam dilema atasi sentimen anti-Islam


16 Disember 2014 12:52 AM
 

Beribu-ribu penunjuk perasaan menyertai bantahan antipendatang tanpa izin yang dianjurkan oleh PEGIDA di Dresden pada 8 Disember lalu bagi menggesa kerajaan menguatkuasakan peraturan yang lebih ketat bagi mengekang kemasukan pencari suaka politik dan pendatang Islam ke Jerman. – REUTERS

BERLIN 15 Dis. – Canselor Jerman, Angela Merkel berdepan tekanan daripada parti sekutu dan pembangkang untuk mengatasi peningkatan sentimen antipendatang tanpa izin yang turut mencetuskan perarakan anti-Islam setiap hari Isnin di negara ini.
Masalah tersebut sekali gus membuatkan Merkel berada dalam dilema apabila beratus-ratus ribu penunjuk perasaan dijangka berarak dalam bantahan tersebut walaupun pegawai keselamatan Jerman memberi amaran tentang peningkatan jenayah berbaur perkauman.
Malah, tinjauan awam menunjukkan sokongan majoriti rakyat yang mahu dasar yang lebih ketat dikuatkuasakan bagi mengekang kemasukan pendatang asing ke negara ini.
Ketua polis, Holger Muench berkata, sentimen menentang pendatang asing semakin jelas di seluruh negara diketuai kumpulan PEGIDA atau Patriotik Eropah Menentang Pengislaman Barat.
Jumaat lalu, Merkel menegaskan bahawa tiada sentimen anti-Islam di Jerman atau kebencian terhadap golongan minoriti lain.
Tetapi parti sekutunya, Parti Demokrat Sosial (SPD) selain Parti Greens mewakili pembangkang dan parti yang sedang meningkat naik, Parti Alternatif untuk Jerman (AfD) dilihat menjadikan isu tersebut sebagai peluang melemahkan populariti Merkel yang memperoleh sokongan sebanyak 76 peratus berdasarkan tinjauan oleh akhbar tempatan, Bild am Sonntag.
Pemimpin kanan SPD, Thomas Oppermann menyifatkan isu perkauman tersebut sebagai masalah terbesar yang dihadapi Merkel dan mencabar Canselor Jerman itu mengatasi krisis berkenaan.
Sementara itu, ketua Parti Greens, Cem Oezdemir yang akan menyertai tunjuk perasaan membantah sentimen antipendatang asing berkata, Merkel perlu lebih tegas untuk menjelaskan kebaikan pendatang asing kepada Jerman.
Namun sesetengah pemimpin parti yang diwakili Merkel, Parti Kesatuan Kristian Demokratik Jerman memberi reaksi berbeza apabila menggesa beliau memahami gerakan berbaur perkauman itu walaupun Parti SPD mengecam tindakan menganjurkan perarakan terbabit.
Perarakan antiimigran telah menular di banyak bandar utama Jerman terutamanya di Duesseldorf, barat negara ini yang mempunyai jumlah pendatang asing paling ramai berbanding di Dresden yang didiami kira-kira empat juta penduduk beragama Islam. 
– REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/angela-merkel-dalam-dilema-atasi-sentimen-anti-islam-1.36892#sthash.m5XIXKmE.dpuf

No comments:

Post a Comment