HONG KONG – Pihak berkuasa pulau ini menangkap sebilangan aktivis prodemokrasi semalam selepas mereka membersihkan lokasi terakhir daripada tiga kem penunjuk perasaan sekali gus menandakan bantahan yang menghalang beberapa jalan utama di bandar raya ini sejak lebih dua bulan lalu, kini berakhir.
Kira-kira 100 anggota polis memasuki kawasan beli-belah popular, Causeway Bay untuk menanggalkan halangan selepas penunjuk perasaan bergegas mengambil barangan milik mereka.
Lokasi itu merupakan kem penunjuk perasaan yang paling kecil di sini.
Polis turut menangkap lebih 12 penunjuk perasaan temasuk beberapa warga emas selepas mereka berdegil untuk terus duduk dan enggan bersurai.
“Saya tidak fikir protes ini gagal. Ini bukan pengakhiran,” kata seorang penunjuk perasaan K.T Tang.
“Saya harap pada masa hadapan apabila kami berkumpul di jalanan, kami akan bergembira dan bukannya mengalirkan air mata kerana gagal mencapai apa-apa,” tambahnya.
Pihak berkuasa mengangkat sejumlah khemah dan barangan lain lalu dicampakkan ke dalam beberapa buah trak di lokasi itu. Polis kemudian membuka semula jalan raya tersebut.
Pada Khamis lalu, pihak berkuasa membersihkan hampir semua lokasi protes utama di daerah Admiralty, dekat ibu pejabat pemerintah dan menangkap berpuluh-puluh aktivis yang berhimpun secara aman.
Tindakan itu menyusul selepas polis membersihkan lokasi tunjuk perasaan di kejiranan Mong Kok yang membawa kepada pertempuran antara penunjuk perasaan dan anggota keselamatan selama beberapa malam pada akhir November lalu.
Hong Kong yang merupakan jajahan British dipulangkan kepada China pada 1997 di bawah formula satu negara, dua sistem pemerintahan yang memberikan pulau ini lebih banyak kebebasan dan kuasa autonomi berbanding Tanah Besar.
Kumpulan penunjuk perasaan menuntut pencalonan terbuka diadakan untuk pilihan raya 2017 bagi memilih pemimpin baharu pulau ini tetapi Beijing bertegas calon yang bertanding perlu mendapat kelulusannya. – Reuters
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1216&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3M0VQhcDI
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment