PROTES disertai kira-kira 100,000 penunjuk perasaan sejak 26 September lalu sebagai membantah tindakan China mahu menapis calon pilihan raya 2017 di Hong Kong akhirnya berakhir tanpa mencapai tujuan dan matlamat yang diperjuangkan oleh kumpulan prodemokrasi tersebut.

Bagaimanapun, situasi terbabit dilihat bakal memberi cabaran besar kepada China untuk terus mentadbir Hong Kong selepas Britain menyerahkan kedaulatan pulau yang menjadi hab perdagangan serantau itu pada 1997.

Tindakan pihak berkuasa membersihkan tapak protes dan menahan lebih 200 penunjuk perasaan dilihat tidak akan menamatkan ‘usaha’ kumpulan pelajar meneruskan tuntutan mereka malah ia memberi ruang kepada golongan tersebut untuk merancang langkah seterusnya.

Tumpuan akan beralih kepada Majlis Perundangan, di mana Ahli Parlimen prodemokrasi sudah berikrar mahu menyekat rang undang-undang bertujuan untuk menetapkan prosedur untuk kepimpinan bandar tersebut pada 2017 melainkan satu perubahan besar telah dibuat. 

“Kami mahu kerajaan tahu bahawa kekuatan kumpulan prodemokrasi akan bertambah dan bakal mendapat lebih banyak sokongan pada masa akan datang.

“Perjuangan kami masih belum selesai,” kata Setiausaha Persekutuan Pelajar Hong Kong, Alex Chow.


Sokongan makin berkurangan?

Bantahan itu mula mendapat liputan luas media selepas pemimpin kumpulan pelajar bertindak menyerbu bangunan yang menempatkan ibu pejabat kerajaan.

Keadaan yang semakin tegang memaksa pihak berkuasa menggunakan gas pemedih mata sebagai langkah untuk menyuraikan mereka, namun tindakan itu telah mencetuskan kemarahan orang ramai.

Selepas beberapa minggu, sokongan terhadap kumpulan prodemokrasi itu mula berkurangan kerana ia telah melumpuhkan sektor perniagaan selepas laluan utama disekat.

Tinjauan yang dibuat pada Oktober lalu pula mendapati Persekutuan Pelajar Hong Kong telah menjadi kumpulan politik paling popular pada masa ini.

Sementara itu, kaji selidik lain yang dilakukan oleh Universiti Hong Kong pada pertengahan bulan lalu menunjukkan kira-kira 68 peratus daripada 513 responden berpendapat kerajaan perlu bertindak untuk menghentikan protes besar-besaran itu.

Gesaan supaya bantahan tersebut dihentikan didakwa meningkat selepas insiden keganasan tercetus ketika kumpulan prodemokrasi terbabit bertindak mengepung pejabat Ketua Eksekutif Hong Kong, Leung Chun-ying pada 30 November lalu.

Walaupun sokongan terhadap kumpulan itu dikatakan semakin berkurangan, ia secara tidak langsung telah membangkitkan kesedaran politik dalam kalangan golongan muda.

Ia berjaya membuka mata generasi muda di bandar tersebut supaya bangkit dan menuntut hak dalam politik, sosial serta peluang pekerjaan pada masa hadapan.

“Bantahan ini berjaya menyedarkan orang ramai mengenai kepentingan demokrasi. Ia telah mewujudkan saluran untuk orang ramai  untuk menzahirkan tuntutan mereka kepada kerajaan,” kata pelajar berusia 19 tahun, Tommy Yau.


Payung jadi simbol kebangkitan

Pada asalnya, payung yang menjadi simbol utama kumpulan protes tersebut digunakan sebagai ‘perisai’ untuk melindungi mereka daripada semburan gas pemedih mata dan penyembur lada yang dilepaskan oleh pihak berkuasa.

Penolong profesor di Universiti Hong Kong, Bryan Druzin memberitahu payung bukan hanya sebagai pelindung kepada kumpulan tersebut malah ia telah menjadi lambang penentangan pasif.

Artis tempatan, Kacey Wong turut mengadakan ‘pertandingan’ mencipta logo Revolusi Payung di media sosial.

“Payung mewakili kerjasama semua pihak untuk membentuk ‘perisai pertahanan’. Ia menjadi imej yang kuat kepada perjuangan kumpulan prodemokrasi terbabit,” tegasnya.

Selain itu, reben kuning dan kemeja T berwarna hitam turut menjadi simbol aspirasi demokrasi sepanjang 75 hari bantahan itu berlangsung.

“Reben kuning tersebut adalah salah satu cara untuk menyatakan sokongan kepada perjuangan mereka manakala kemeja T hitam pula mewakili simbol kegelapan dan kesedihan,” menurut Wong lagi.


Beri kesan kepada ekonomi

Protes yang berlarutan lebih dua bulan itu didakwa turut memberi kesan kepada sektor ekonomi tempatan.

Kaji selidik yang dilakukan HSBC terhadap Indeks Pembelian Pengurus (PMI) Hong Kong mendapati aktiviti sektor swasta menyusut kepada 47.7 peratus berbanding 49.8 pada September lalu dan ia juga telah menurun pada kadar paling pesat dalam tempoh tiga tahun.

Persatuan pengurusan runcit di bandar itu memaklumkan mereka menerima laporan penurunan dramatik dalam jualan pada awal Oktober lalu.

Difahamkan, ekonomi Hong Kong sememangnya sudah berada di bawah tekanan berikutan pertumbuhan di China terus perlahan.

Jualan runcit telah jatuh hampir sepanjang tahun dan beberapa ahli ekonomi berpendapat situasi tersebut sebenarnya berpunca daripada kebuntuan politik.

Bagaimanapun, laporan tahunan Kumpulan Bank Dunia pula mendapati protes tersebut tidak langsung memberi kesan kepada iklim perniagaan Hong Kong.

Pengurus Perdagangan dan Daya Saing di kumpulan tersebut, Wendy Werner berkata, Hong Kong menduduki tangga ketiga di belakang New Zealand sebagai negara paling mudah untuk menjalankan perniagaan.


Mengapa protes itu berlaku?

Awal tahun lalu, China menolak gesaan untuk membenarkan rakyat menamakan calon mereka sebaliknya ia dipilih oleh jawatankuasa pro-Beijing terdiri daripada 1,200 anggota.

Keputusan itu dilihat sebagai perlanggaran terhadap Perlembagaan bandar atau Undang-undang Asas Hong Kong kerana tindakan Beijing telah mengehadkan calon untuk bertanding jawatan Ketua Eksekutif Hong Kong pada pilihan raya 2017 dan pemilihan perwakilan pada Pilihan Raya Majlis Perwakilan pada 2020.


Siapa menyertai bantahan tersebut?

Ia disertai pelbagai aktivis daripada pelbagai lapisan umur dan dipimpin oleh beberapa remaja termasuk Joshua Wong, 17, yang pernah mengetuai kempen membantah pelaksanaan pendidikan patriotik oleh China pada 2002.

Ia turut mendapat sokongan daripada gerakan yang menggelarkan diri mereka sebagai Occupy Central with Love and Peace dan profesor universiti. Gerakan itu bertujuan untuk memberi tekanan kepada Beijing supaya melaksanakan sistem pilihan raya yang memenuhi standard antarabangsa berkaitan hak mengundi universal pada Pilihan Raya Ketua Eksekutif Hong Kong pada 2017 seperti terkandung dalam Perkara 45  di bawah Undang-undang Asas Hong Kong.

Mereka turut menggesa Ying-leung meletak jawatan, namun beliau yang mendapat sokongan kerajaan China enggan tunduk dengan tuntutan itu.