Saturday, January 17, 2015

Australia yakin temui MH370


SEBUAH kapal Malaysia, GO Phoenix bersedia untuk menyertai misi mencari Penerbangan MH370 di selatan Lautan Hindi pada Oktober tahun lalu. - BERNAMA PERTH, Oct 21


SYDNEY – Penerbangan hilang, MH370 besar kemungkinan akan dijumpai dan dipercayai berada dalam keadaan baik di dasar laut dalam zon pencarian yang kini digeledah walaupun telah tenggelam sejak 10 bulan lalu, kata Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB).
Tiga buah kapal kini memeriksa kedalaman Lautan Hindi di barat Australia di mana pesawat milik Penerbangan Malaysia (MAS) yang membawa 239 orang dipercayai terhempas manakala sebuah kapal lagi dalam perjalanan ke lokasi tersebut.
Kebanyakan penumpang penerbangan berkenaan terdiri daripada rakyat China.
Pesawat itu hilang ketika terbang dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing pada 8 Mac lalu.
Kehilangan MH370mencetuskan misteri apabila isyarat denyutan elektronik atau ‘ping‘ menunjukkan pesawat itu terbang ke koridor selatan. Namun, sehingga kini, masih tiada tanda lokasi MH370 di sebalik operasi pencarian besar-besaran di laut dan udara.
Setakat ini, satu perempat daripada kawasan pencarian utama di dasar laut seluas 60,000 kilometer persegi telah diperiksa dengan zon lebih luas sekitar 208,000 kilometer persegi turut dipetakan.
“Pengiraan menggunakan satelit memberikan kawasan tersebut yang diputuskan sebagai zon tumpuan utama,” kata ketua pesuruhjaya ATSB, Martin Dolan.
ATSB kini mengetuai operasi mencari bangkai pesawat jenis Boeing 777-200 itu.
“Dalam kawasan seluas 60,000km persegi ini, terdapat kemungkinan besar kami akan menemui pesawat MH370. Kami perlu memeriksa kawasan ini dengan teliti sehingga kami menemui kapal terbang itu,” tambahnya.
Operasi mencari di kawasan keutamaan itu bermula awal Oktober tahun lalu dan akan dipercepatkan dalam tempoh beberapa bulan akan datang memandangkan cuaca yangsemakin baik. Pencarian tersebut dijangka selesai pada Mei depan. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0117&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3P28L7p4X 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment