Saturday, January 17, 2015

‘Ayah...tolonglah’

Oleh Gaddafi Musli 
am@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: “Saya mohon maaf jika kelahiran saya dulu mendatangkan kesusahan kepada ibu dan ayah. Saya merayu kepada ayah... tolonglah, saya nak ayah jadi wali perkahwinan saya,” kata Noor Sarinawati Ahmad Sabri, 28, eksekutif yang hanya mengetahui dia anak angkat ketika berusia 12 tahun.
Menurutnya, dia bakal melangsungkan perkahwinan pada awal Mac depan dan berharap dapat menjejaki bapa kandungnya, Ahmad Sabri Yahya berusia 60-an secepat mungkin kerana dia enggan berwalikan hakim.
Katanya, walaupun pernah dimaklumkan keluarga angkatnya bahawa ayahnya pernah meninggalkan pesan supaya menggunakan wali hakim dan jangan mencarinya jika hendak berkahwin, dia tidak menyalahkan orang tuanya itu.
“Bapa kandung dikenali sebagai Ahmad Sabri Yahya dan saya diserahkan kepada keluarga angkat, Sangirah Hassan, 68, ketika berusia tiga bulan di Muar, Johor.
"Saya tidak pernah terasa hati dengan tindakan ibu dan ayah. Mungkin ada sebab tertentu mereka terpaksa berbuat demikan kerana tidak mungkin mereka sanggup mengabaikan zuriat sendiri tanpa sebab munasabah.
“Saya cuma mahu menatap wajah ibu dan ayah dan memohon maaf jika saya pernah melakukan dosa kepada mereka,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Noor Sarinawati yang bekerja di Selangor berkata, ibu angkatnya menceritakan segala-galanya ketika dia berusia 12 tahun menyebabkan dia menangis seharian dan enggan bercakap dengan wanita itu selama seminggu.
“Rasa seperti seluruh langit runtuh apabila dapat tahu orang yang kita sayang sejak kecil rupanya bukan darah daging kita.
“Bagaimanapun, selepas dipujuk berulang kali oleh ibu angkat, saya dapat menerima kenyataan, namun saban hari bertanya mengapa saya ditinggalkan oleh ibu dan ayah. Ibu angkat kata kemungkinan disebabkan isu perceraian dan dia beritahu ibu kandung serah saya secara baik malah turut memberikan surat beranak saya,” katanya
Menurutnya, dia bersyukur ibu angkatnya membesarkannya seperti anak sendiri.
“Alhamdulillah kami menjalani kehidupan dalam keadaan sederhana dan dia mencurahkan sepenuh kasih sayang kepada saya,” jelasnya.
Katanya, dia percaya ayahnya masih hidup dan dipercayai berada di Perak.
Sesiapa yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Noor Sarinawati ditalian 016-6879730.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 January 2015 @ 4:13 PM


Noor Sarinawati melihat sijil kelahirannya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/24375#sthash.zbGv6g3z.dpuf

No comments:

Post a Comment