Azilah Hadri
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, sehingga semalam, kerajaan Australia masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi tentang pendirian mereka terhadap isu terbabit.
Bagaimanapun katanya, beliau yakin dan percaya, kerajaan melalui pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus mengadakan perbincangan bersama-sama Australia bagi membawa pulang Sirul Azhar ke Malaysia.
“Pelaksanaan hukuman mati antara Malaysia dengan Australia mungkin berbeza sehingga menyebabkan negara berkenaan enggan melakukan ekstradisi.
“Namun sekiranya Australia enggan, kita boleh membawa kes ini ke mahkamah di sana bagi mendapatkan perintah ekstradisi memandangkan badan kehakiman itu mempunyai kuasa lebih tinggi daripada seseorang pemerintah,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini hari ini.
Selasa lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan Sirul Azhar bersama Cif Inspektor Azilah Hadri bersalah dan disabitkan atas tuduhan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Mereka berdua dihukum gantung sampai mati dan mahkamah juga mengeluarkan waran tangkap terhadap Sirul Azhar selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah ekoran kegagalan anggota polis itu hadir ke mahkamah kerana dilaporkan berada di Australia.
Wan Junaidi menegaskan, biarpun boleh membawa kes berkenaan ke Mahkamah Australia tetapi perkara itu mungkin mengambil masa yang agak panjang.
“Perkara ini melibatkan kerjasama diplomatik antara Malaysia dengan Australia, jadi mungkin akan mengambil masa agak panjang,” ujarnya.