MANILA 16 Jan. - Pemimpin Vatican, Pope Francis mengingatkan bahawa kebebasan bersuara perlu ada batasnya, terutama membabitkan isu penghinaan agama, merujuk kepada tindakan akhbar mingguan Perancis, Charlie Hebdo yang menyiarkan kartun yang menghina Nabi Muhammad, baru-baru ini.
Dalam lawatannya ke Filipina hari ini, pemimpin agama berusia 78 tahun itu berkata, kebebasan bersuara yang diamalkan oleh Charlie Hebdo bukan sahaja menghina agama Islam, tetapi menyakiti perasaan penganut Kristian dan Yahudi.
“Anda tidak boleh melakukan provokasi termasuk menghina kepercayaan orang lain dan menjadikan agama sebagai bahan gurauan.
“Malah jika seseorang menghina ibu saya, saya akan tumbuk dia, dan perkara itu adalah biasa, apabila kita bertindak balas akibat dihina,” katanya seperti yang dilaporkan portal berita Financial Times.
Bagaimanapun Francis mengutuk serangan di ibu pejabat akhbar tersebut di Paris sehingga mengorbankan 12 orang dengan menyifatkan kejadian itu sebagai ‘menyimpang’ yang merujuk kepada fahaman pelampau.
“Pembunuhan tidak boleh dilakukan atas nama Tuhan. Tindakan itu merupakan satu penyimpangan,” katanya.
Mengulas isu yang sama, Perdana Menteri Turki, Ahmet Davutoglu berkata, hak kebebasan bersuara perlu dipertahankan tetapi memberi amaran bahawa penghinaan terhadap orang Islam boleh menyebabkan insiden serangan di Paris berulang.
“Kebebasan bersuara tidak bermakna anda bebas untuk menghina dan Turki tidak akan membenarkan sebarang bentuk penghinaan terhadap Nabi Muhammad berlaku di negara ini,” katanya ketika menghadiri mesyuarat Kesatuan Eropah (EU) di Brussels sebagai usaha Ankara menyertai pertubuhan tersebut.
Sementara itu, Presiden Perancis, Francois Hollande menyifatkan bahawa penduduk Islam merupakan mangsa utama dalam isu fanatik, fundamentalisme dan sikap tidak bertoleransi, sehingga dikaitkan dengan keganasan sedangkan seluruh rakyat negara itu berganding bahu menentang keganasan.
Malah Hollande memberi jaminan bahawa penduduk Islam di negara itu akan dilindungi dan diberikan hak serta tugas yang sama rata sebagai rakyat. – AFP
No comments:
Post a Comment