Aliya (kanan) bersama seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun di kampungnya. – AGENSI
NEW DELHI 2 Mac – Seorang bayi perempuan berusia 10 bulan di India dilaporkan mempunyai berat badan sehingga 19 kilogram, menjadikannya satu-satunya kanak-kanak terberat di dunia sebaya umurnya.
Aliya Saleem dari negeri Jharkhand dilahirkan dengan berat 4 kilogram sebelum berat badannya naik mendadak ketika dia berumur empat bulan dan beratnya kini, menyamai berat purata seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun.
Keadaan Aliya membuatkan ibu bapanya bimbang akan kesihatannya selepas seorang daripada anak mereka meninggal dunia pada usia setahun setengah selepas mengalami simptom sama yang dialami Aliya.
Ibu kepada bayi perempuan itu, Shabana Parveen, 25, berkata, beberapa bulan selepas Aliya dilahirkan, berat badannya mula bertambah selepas makan tiga kali ganda melebihi apa yang sepatutnya dimakan oleh kanak-kanak yang sama baya dengannya.
“Kami terpaksa membelikan sepasang baju baharu setiap dua minggu untuk Aliya selepas baju yang lama sudah tidak lagi muat untuknya,’’ kata Shabana sebagaimana dilaporkan Mail Online.
Berat Aliya mengakibatkan nyawanya kini dalam bahaya, apatah lagi keluarganya kekurangan wang untuk membiayai kos perubatannya.
Bagaimanapun di sebalik faktor fizikalnya itu, Aliya merupakan antara bayi kesayangan di kampungnya.
“Setiap penduduk kampung menyayanginya. Kanak-kanak juga datang dan mahu bermain dengannya. Namun hanya segelintir sahaja yang mampu mengangkatnya,’’ katanya.
Sementara itu, Ketua Pediatrik Hospital Fortis di sini, Dr. Krishan Chugh berkata, Aliya adalah bayi paling berat pada usia 10 bulan yang pernah dilihatnya dan dipercayai mengalamai berat badan berlebihan atau ketidakseimbangan hormon.
“Namun, kami perlu melakukan beberapa pemeriksaan ke atasnya sebelum mengesahkan apakah penyakit yang dihidapinya dan memberi rawatan kepadanya,’’ katanya.
No comments:
Post a Comment