Jururawat berhati mulia
NASIB kanak-kanak lelaki yang menghidap penyakit jarang berlaku dalam dunia perubatan akhirnya terbela selepas seorang jururawat berhati mulia sudi mengambilnya sebagai anak angkat.

Sarah Ruane, 51, dari Britain membuat keputusan itu selepas pihak hospital gagal mendapatkan keluarga angkat untuk Joshua Burdell, 3, penghidap  sindrom Steinert yang menyebabkan budak tersebut tidak boleh menunjukkan sebarang ekspresi wajah.

"Joshua pernah diletakkan di bawah jagaan saya selepas dilahirkan di Hull Royal Infirmary. Dia mewarisi penyakit itu daripada ibunya dan keadaan tersebut menyebabkan wanita berkenaan tidak berupaya untuk menjaganya.
"Saya tidak sampai hati melihat kanak-kanak tersebut terus tinggal di hospital tanpa jagaan yang sempurna daripada sebuah keluarga," jelasnya.
Menurut ibu kepada enam anak itu lagi, suaminya, Alan, 43, yang bekerja sebagai jurutera awam juga mengalu-alukan kehadiran Joshua dalam keluarga mereka.
Ruane yang berpengalaman selama 32 tahun sebagai jururawat pediatrik itu turut berusaha mendapatkan bantuan daripada pakar.

Susulan daripada itu, Joshua bakal menyertai program klinikal pertama di Universiti Utah yang bertujuan untuk menghasilkan ubat baharu untuk kanak-kanak senasib dengannya.

"Saya berharap dia akan sembuh pada satu hari nanti untuk membolehkannya menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain," katanya. - DailyMail