Tuesday, March 3, 2015

Ribuan sertai perarakan bantah pembunuhan Nemtsov



LAUTAN manusia memenuhi jalan di sekitar tengah Moscow kelmarin dalam satu tunjuk perasaan bagi mengutuk pembunuhan pemimpin pembangkang, Nemtsov.


MOSCOW – Berpuluh-puluh ribu orang memenuhi tengah Moscow kelmarin bagi mengingati kematian pemimpin pembangkang, Boris Nemtsov yang ditembak mati berhampiran Kremlin dalam satu pembunuhan berprofil tinggi di bawah pemerintahan Presiden Vladimir Putin.
Lautan manusia dengan wajah suram memegang bendera Rusia dan potret Nemtsov berarak dalam keadaan hujan renyai-renyai dari arah jambatan menghala ke Moskva iaitu lokasi pemimpin pembangkang berusia 55 tahun itu ditembak pada Jumaat lalu.
Dalam perhimpunan terbesar pernah disertai penyokong pembangkang negara itu sejak perhimpunan anti-Kremlin pada tahun 2011 dan 2012, mereka turut mengutuk pendirian Moscow terhadap Ukraine.
Sementara itu, kira-kira 6,000 orang hadir di Saint Petersburg untuk menyuarakan sokongan terhadap Nemtsov kerana memperjuangkan kepentingan rakyat Ukraine.
“Saya membawa bendera Ukraine kerana beliau (Nemstov) berjuang supaya peperangan di negara itu dihentikan serta-merta tetapi mereka membunuhnya disebabkan perjuangannya itu,” kata seorang penyokong, Vsevolod Nelayev.
Pada masa sama, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry menggesa Rusia supaya menjalankan siasatan yang adil dan menyeluruh untuk menangkap bukan sahaja pembunuh tetapi juga individu yang menjadi dalang dalam insiden ini.
Beberapa jam sebelum insiden pembunuhan itu berlaku, Nemstov melalui radio menyeru penyokongnya supaya menyertai perhimpunan di Moscow bersamanya pada Ahad lalu untuk protes mengenai peperangan di Ukraine dan kepimpinan Putin. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0303&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3TH0F6ULC 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment