Tuesday, March 3, 2015

Korea Utara beri amaran


TENTERA Korea Selatan kelihatan bersama kenderaan perisai ketika menyertai latihan ketenteraan di Paju kelmarin.


SEOUL – Korea Utara menembak dua peluru berpandu ke laut semalam dan berikrar tindak balas ‘tanpa belas kasihan’ selepas Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan memulakan latihan ketenteraan yang dilihat Pyongyang sebagai satu konfrontasi melulu.
Latihan tahunan itu sering menyebabkan ke­tegangan ketenteraan dan retorik peperangan di semenanjung ini, manakala penganalisis melihat ujian peluru berpandu Pyongyang itu sebagai permulaan kempen ‘bunyi pe­dang’.
Penganalisis Institut Penyatuan Kebangsaan Korea di sini, Jeung Young-Tae menjelaskan jika ketegangan meningkat dengan mendadak, Pyongyang mungkin akan mendalangi satu bentuk pertembungan di sempadan maritim.
Ketegangan dilihat semakin meningkat selepas laman web kerajaan Korea Utara, Uriminzokkiri semalam mengeluarkan amaran bertindak balas keras jika aktivis Korea Selatan menyebarkan risalah anti-Pyongyang menggunakan belon untuk menyeberangi sempadan.
“Tindak balas mungkin bukan menggunakan beberapa das tembakan sahaja tetapi menggunakan bedilan peluru berpandu,” jelas laman web tersebut.
Kementerian Pertahanan Korea Selatan berkata, dua peluru berpandu itu ditembak dari pelabuhan barat bandar Nampo dan jatuh ke laut di pantai timur pada jarak kira-kira 500 kilometer.
Ujian peluru berpandu menjadi kaedah pilihan Korea Utara untuk menunjukkan kemarahan atau rasa tidak puas hati terhadap tindakan Korea Selatan dan sekutu-sekutunya.
Seoul dan Washington menegaskan latihan tersebut cuma untuk mempertahankan diri tetapi kerap dikecam Pyongyang sebagai latihan provokasi untuk menceroboh wilayahnya.
Pyongyang juga pernah mengancam sera­ngan, termasuk serangan nuklear ke atas AS sebelum ini tetapi negara itu tidak pernah menampilkan kemampuan melancarkan sebuah peluru berpandu yang mampu mencecah sempadan AS.
Januari lalu, Pyongyang pernah menawarkan untuk menghentikan ujian nuklearnya jika latihan ketenteraan bersama AS dan Korea Selatan dibatalkan tahun ini tetapi ditolak Washington yang ‘mencabar’ Korea Utara agar meneruskan ujian nuklear buat kali keempat. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0303&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3TH1IpBJM 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment