Hayao Miyazaki pengarah animasi terhebat
Hayao Miyazaki pengarah animasi terhebat
DALAM dunia animasi, siapa yang tidak kenal Hayao Miyazaki. Dilahirkan pada 5 Januari 1941, Miyazaki adalah seorang pengarah filem, penulis skrip, artis manga dan juga penulis paling prolifik di Jepun.

Beliau juga merupakan pengasas bersama Studio Ghibli yang menghasilkan animasi berkualiti tinggi, iklan komersial serta permainan video.

Kebanyakan karyanya mengetengahkan tema hubungan manusia dengan alam dan teknologi, serta bagaimana untuk memelihara keamanan yang telah dicapai.

Miyazaki sering menampilkan gadis remaja sebagai watak protagonis dalam karya beliau.

Watak-watak tersebut sering digambarkan sebagai kuat, berkeyakinan tinggi dan mampu berdikari.

Antara karya beliau yang paling berjaya dan mendapat sambutan ialah Princess Mononoke dan Spirited Away.

Kehidupan awal

Miyazaki dilahirkan di bandar Akebono-cho di Bunkyo, Tokyo. Beliau adalah anak kedua daripada empat beradik lelaki.

Bapanya, Katsuji Miyazaki adalah pengarah syarikat Miyazaki Airplane yang menghasilkan pesawat tempur A6M Zero yang digunakan semasa Perang Dunia Kedua.

Ibunya, Dola Miyazaki pula seorang suri rumah yang gemar membaca.

Miyazaki mendapat pendidikan awal di sekolah rendah Utsunomiya pada 1947. Minatnya terhadap animasi tercetus selepas menonton tayangan filem animasi The Tale of the White Serpent ketika beliau menuntut di sekolah tinggi Toyotama.

Beliau kemudian menyambung pelajaran di Universiti Gakushuin dalam bidang ekonomi dan sains politik.

Di universiti, Miyazaki menjadi ahli kelab kajian kesusasteraan kanak-kanak. Miyazaki mengambarkan kelab tersebut seperti kelab persatuan komik yang ada pada hari ini.

Karier sebagai juru animasi

Pada April 1963, Miyazaki diterima bekerja di syarikat Toei Animation. Dalam tempoh setahun, beliau berjaya membina reputasi hebat di syarikat tersebut.

Paling diingati, beliau menukar babak akhir filem animasi Gulliver's Travels Beyond the Moon kerana tidak berpuas hati dengan skrip asal dan jalan cerita di penghujung filem berkenaan.

Pada 1968, beliau dinaikkan pangkat sebagai ketua juru animasi. Pada masa sama, beliau diberikan peranan sebagai artis konsep dan mereka plot untuk filem animasi Hols: Prince of the Sun.

Pada 1971, Miyazaki mengambil keputusan meninggalkan Toei Animation dan menyertai studio A Pro.

Bagaimanapun, bakat beliau sebagai pelukis dan juru animasi terserlah ketika bekerja dengan Nippon Animation pada 1973.

Beliau mengarahkan siri animasi TV pertamanya pada 1978 berjudul Conan, The Boy in Future.

Terima penghormatan

Miyazaki menjadi rakyat Jepun kedua selepas Akira Kurosawa diberi anugerah kehormat Oscar pada 2009.

Sebaik menerima anugerah tersebut, Miyazaki dengan merendah diri mengatakan bahawa dirinya hanya bernasib baik.

"Isteri saya berkata, saya seorang yang bernasib baik. Apa pun, saya sangat bertuah untuk hidup pada zaman perang dan menghasilkan filem menggunakan kertas dan pensil.

"Saya akan terus berkarya sehingga saya mati," katanya

Pada 2003, beliau memenangi Oscar selepas filemnya Spirited Away dijulang sebagai filem animasi terbaik.