Thursday, April 9, 2015

Dewan Rakyat Kecoh, Pembangkang Bantah Sidang Berlarutan Hingga Lewat Malam


Diterbitkan: Khamis, 9 April 2015 7:00 AM
Gobind bangkit meminta agar persidangan Dewan Rakyat tidak berlarutan hingga lewat malam.

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat pada Rabu kecoh apabila anggota Parlimen pembangkang tidak berpuas hati dengan perjalanan mesyuarat itu yang masih tidak dihentikan walaupun sudah melewati 12 tengah malam.
Kekecohan berlaku apabila Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) bangkit meminta penjelasan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Ismail Mohamed Said yang ketika itu mempengerusikan mesyuarat, untuk mempertimbangkan bagi menghentikan mesyuarat yang telah berlarutan sehingga lewat malam.
"Dua hari lepas kita sudah bermesyuarat sehingga 2.30 pagi dan hari ini kita masih ada empat rang undang-undang untuk dibincangkan dan saya rasa mungkin ambil masa hingga 3 atau 4 pagi.

"Saya mahu membahaskan rang undang-undang ini tapi macam mana, mungkin kita tidak diberi masa untuk bahas, semua mahu cepat, macam mana mahu debat dengan berkualiti," katanya yang menyebabkan beberapa lagi anggota Parlimen pembangkang bangkit menyokong.

Rata-rata anggota Parlimen yang ketika itu sedang membahaskan rang undang-undang Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015, mempersoal mengapa kerajaan tergesa-gesa membentang dan meluluskan lapan daripada 11 rang undang-undang yang disenaraikan dalam aturan mesyuarat pada Rabu.

"Kalau sudah tidak ada asas (untuk teruskan mesyuarat) kenapa mesti diteruskan sehingga 3 atau 4 pagi," tegas Gobind Singh. 
G. Manivannan (PKR-Kapar) pula mendesak menteri berkaitan menjelaskan kenapa kesemua rang undang-undang itu mesti diluluskan hari ini: "Kenapa kita tidak boleh bahaskan rang undang-undang ini esok (Khamis).
"Michael Jeyakumar Devaraj (PSM-Sungai Siput) pula menyifatkan tindakan untuk meluluskan segera rang undang-undang seolah-oleh menghina Parlimen dan menjadikannya seolah-olah seperti 'pak turut' sahaja.

"Ini ertinya macam tak perlukan Parlimen. Kalau macam ini mana kita hendak ambil masa untuk kemukakan perbahasan berkualiti," hujahnya.

Manakala anggota Parlimen BN pula mempertahankan tindakan kerajaan untuk meneruskan persidangan dan menggesa anggota Parlimen pembangkang untuk pulang jika tidak sanggup menunggu.

"Kita ada asas (untuk bahaskan rang undang-undang). Kalau malas, balik rumah," kata Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling). 
Sementara itu, Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh) menyifatkan kekalutan pembangkang itu disebabkan kini mereka tidak mempunyai 'ketua', sehingga menimbulkan kemarahan wakil rakyat pembangkang.
Keadaan itu, bagaimanapun reda apabila Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Ronald Kiandee menegaskan untuk meneruskan mesyuarat seperti usul yang dipersetujui sebelum itu.

Terdahulu pada Rabu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim mengemukakan usul melalui Peraturan Mesyuarat 12(1) untuk tidak menghentikan mesyuarat sehingga selesai Rang Undang-Undang Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Pindaan) 2015.

Bagaimanapun, bacaan kedua bagi Rang Undang-Undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2015 dan Rang Undang-Undang Keterangan (Pindaan) 2015 ditangguhkan dan akan dibawa ke persidangan akan datang.

Setakat 12 tengah malam, sidang dewan sedang membahaskan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 selepas meluluskan Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Pindaan) 2015.

Empat lagi rang undang-undang iaitu Rang Undang-Undang Suruhanjaya Sekuriti (Pindaan) 2015, Rang Undang-Undang Pasaran Modal dan Perkhidmatan (Pindaan) 2015, Rang Undang-Undang Kumpulan Wang Persaraan (Pindaan) 2015 dan Rang Undang-Undang Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludulan Migran (Pindaan) 2015 menanti untuk diselesaikan.

No comments:

Post a Comment