Tuesday, April 7, 2015

Hudud: Usul Hadi dalam aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Persendirian berkaitan hudud yang akan dibentangkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, tersenarai dalam aturan urusan mesyuarat Parlimen hari ini.

Pembentangan rang undang-undang itu yang akan membuka laluan bagi pelaksanaan hudud di Kelantan disenaraikan sebagai perkara terakhir (No.24) untuk dikemukakan kepada mesyuarat.
Bagaimanapun, rang undang-undang itu mungkin tidak berpeluang untuk dibentangkan berdasarkan senarai aturan urusan kerajaan yang panjang.
Abdul Hadi telah mengemukakan notis bagi usul itu dibentangkan di Dewan Rakyat pada 18 Mac lepas.
Usul itu akan membolehkan Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang membentangkan rang undang-undang untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 bagi membuka laluan pelaksanaan hudud di Kelantan.
Pada 19 Mac, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan meluluskan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015), atau hudud yang hanya terpakai kepada orang Islam mukalaf sahaja apabila ia dilaksanakan kelak selepas 44 ADUN sebulat suara meluluskan rang undang-undang itu.
Ketegasan PAS untuk membentangkan usul persendirian itu telah meretakkan hubungan dalam pakatan pembangkang, khususnya antara PAS dan DAP.
Susulan itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, dalam satu kenyataan, berkata DAP mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan dan menghentikan kerjasama dengan Abdul Hadi, sebagai protes pelaksanaan undang-undang hudud itu.
Rakan sekutu PAS di Sabah dan Sarawak pula bertindak menamatkan kerjasama dengan parti itu.
- BERNAMA


No comments:

Post a Comment