ATHENS: Greece yang berhadapan dengan ancaman bankrap telah mengumumkan yang semua bank komersil akan ditutup selama seminggu selepas Bank Pusat Eropah memutuskan tidak akan melanjutkan tempoh bantuan kewangan kecemasan kepada negara Mediteranian itu.
Sehubungan dengan itu kerajaan Greece telah mengeluarkan satu dikri untuk melindungi sistem kewangan negara tersebut daripada kekurangan tunai.
Pengeluaran wang tunai telah dihadkan hanya kepada €60 sahaja sehari (atau £42; AS$66) sepanjang tempoh tersebut.
Bagaimanapun pemegang kad bank antarabangsa tidak terlibat dengan peraturan ini.
Pasaran saham turut digantung ekoran pengisytiharan dikri tersebut.
Kerajaan Greece sepatutnya melangsaikan bayaran hutang sebanyak €1.6 bilion kepada Tabung Matawang Antarabangsa (IMF) menjelang Selasa.
Tidak diketahui bagaimana Greece akan melangsaikan hutangnya itu setelah rundingan dengan negara-negara zon Euro berhubung melanjutkan tempoh bantuan kewangan pada Sabtu gagal mencapai sebarang keputusan muktamad.
Ekoran daripada itu, Perdana Menteri, Alexis Tsipras telah memanggil satu referendum mengejut pada 5 Julai nanti untuk menentukan isu tersebut.
Jika gagal melangsaikan hutang tersebut Greece berhadapan risiko disingkir sebagai anggota Zon Euro yang mempunyai 19 anggota itu.
Keputusan penutupan sementara bank-bank komersil itu dan pengenalan kawalan ke atas matawang merupakan mimpu buruk terbaru buat Greece.
Warganegara Greek akan bangun dari tidur pada Isnin pagi memikirkan apakah mereka mempunyai wang yang cukup untuk berbelanja.
Manakala warganegara yang berharta dan berwang akan tertanya-tanya apakah wang simpanan mereka selamat dan mempunyai nilai.