Tuesday, July 28, 2015

Beri Masa Untuk Kementerian Kewangan Cari Jho Low - Nur Jazlan


Diterbitkan: Selasa, 28 Julai 2015 10:10 AM
Nur Jazlan memegang jawatan Pengerusi UDA Holdings Berhad (UDA) sejak 16 Jun lalu.
Datuk Nur Jazlan Mohamed

PETALING JAYA: Kementerian Kewangan perlu diberi masa untuk mencari ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low kerana permintaan kepada kementerian itu hanya dibuat oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada minggu lepas.
"Kami baru sahaja menghantar surat kepada mereka pada Jumaat lepas untuk mencari Jho Low, jadi berikan mereka masa. Baru tiga hari saja," kata Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed kepada The Star Online.

Beliau mengulas laporan oleh portal berita pada Isnin bahawa Kementerian Kewangan gagal untuk mencari Jho Low selepas diminta berbuat demikian oleh jawatankuasa itu.

Pada Ahad, Nur Jazlan berkata PAC telah menghantar surat kepada Kementerian Kewangan untuk mencari Jho Low untuk hadir di hadapan jawatankuasa pada 8 September ini.

Beliau berkata PAC turut memanggil pengarah-pengarah Brazen Sky Sdn Bhd dan seorang lagi dari syarikat di bawah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang terlibat dengan pelaburan dalam PetroSaudi International untuk hadir di hadapan jawatankuasa itu pada 9 dan 13 September.

"Adalah menjadi tanggungjawab kementerian itu sebagai pemegang saham utama 1MDB untuk mengesan mereka kerana mereka sepatutnya tahu di mana mereka berada," kata Nur Jazlan.

Kementerian itu, katanya, boleh mendapatkan bantuan pihak berkuasa seperti polis untuk mencari mereka.

Jika mereka yang berkenaan gagal hadir, beliau berkata PAC akan membuat keputusan mengenai tindakan seterusnya yang akan diambil.

Nur Jazlan berkata PAC telah menetapkan 4, 5 dan 7 Ogos untuk bertemu bekas-bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB dan 17 dan 18 Ogos untuk bertemu bekas-bekas pengarah.

Jawatankuasa itu mahu mendengar daripada mereka mengenai dakwaan bekas eksekutif PetroSaudi International Xavier Andre Justo, katanya.

No comments:

Post a Comment