RAUB - Melihat kepada suasana politik pada hari ini, Umno Bahagian Raub memutuskan untuk membatalkan jemputan yang dibuat kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk merasmikan mesyuarat Umno bahagian itu pada 15 Ogos depan.

Keputusan itu dibuat selepas mengadakan mesyuarat tergempar yang diadakan semalam.

Ketua Umno Bahagian, Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin berkata, keputusan sukar itu dibuat selepas melihat dan menilai perkembangan politik negara mutakhir ini.

"Umno  bahagian sedih dengan tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membuat kenyataan membelakangi semangat setiakawan dan kesepaduan dalam parti.

"Umno Raub juga kesal dengan kenyataan Muhyiddin yang boleh melunturkan semangat jentera parti dan menghakis keyakinan rakyat terhadap Umno dan kerajaan Barisan Nasional," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat khas Umno Raub di sini malam, tadi.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno ketika berucap pada majlis penutup mesyuarat Umno Bahagian Cheras di Kuala Lumpur pada Ahad meluahkan perasaannya yang disifatkan 'benar tapi pahit'.

[ARTIKEL BERKAITAN: Intipati ucapan Muhyiddin jadi viral]

[ARTIKEL BERKAITAN: Muhyiddin: Pengundi sudah lebih daripada meluat]