KUALA LUMPUR - "Tak perlu sedih, tak perlu risau kalau berjuang untuk rakyat, " kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal.

Beliau yang ditemui di kediaman bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin enggan mengulas lanjut berhubung pengguguran beliau dari Kabinet.

Shafie sebelum ini memegang jawatan Menteri Luar Bandar yang kini diganti Datuk Seri Ismail Sabri.

Walau diasak dengan pelbagai soalan beliau hanya melemparkan senyuman dan mengatakan tidak perlu bersedih dengan apa yang berlaku.

Shafie keluar daripada kediaman Muhyiddin kira-kira jam 4.20 petang turut kelihatan tenang dengan diiringi beberapa orang pegawai khas beliau.

Selain beliau, turut kelihatan memberikan sokongan kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu adalah Ketua Umno Cheras, Datuk Syed Ali Al Habshee, bekas calon Ahli Parlimen Shah Alam, Zulkifli Nordin dan adik Menteri Besar Selangor, Umi Hafilda Ali.