Wednesday, July 8, 2015

Enam akaun bank dibeku

 Oleh Siti A'isyah Sukaimi

sitiaisyah@hmetro.com.my


Putrajaya: Pasukan Petugas Khas semalam, mengeluarkan perintah pembekuan enam akaun bank pihak yang dipercayai terbabit dalam kes dakwaan dana disalurkan ke akaun Perdana Menteri.

Menerusi satu kenyataan hari ini, pasukan berkenaan juga mengambil dokumen berkaitan 17 akaun dari dua bank bagi membantu siasatan yang dijalankan.

"Selain itu, Pasukan Petugas Khas mengambil dokumen membabitkan isu ketidakpatuhan peraturan dan kaedan Bank Negara oleh bank terbabit.

"Siasatan masih berjalan justeru, Pasukan Petugas Khas menyeru semua pihak supaya memberikan kerjasama sepenuhnya bagi melengkapkan siasatan," katanya.

Ia adalah kenyataan bersama Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Sabtu lalu, Abdul Gani dilaporkan berkata, pihak berkuasa menyiasat tiga syarikat dikaitkan dengan dakwaan pemindahan sejumlah dana yang besar ke akaun Perdana Menteri dan memperoleh sejumlah dokumen berkaitan.

Beliau dilaporkan berkata, serbuan ke atas SRC International Sdn Bhd, Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd itu dilakukan oleh kumpulan penyiasat Pasukan Petugas Khas yang dianggotai oleh SPRM, PDRM dan Bank Negara Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2015 @ 2:49 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/62692#sthash.D5nweIFk.dpuf

No comments:

Post a Comment