12 OGOS 2015
Derita kaki besar, berat badan 200 kg Nor Fazilah hanya terlantar di katil dan menggunakan kerusi roda baharunya sumbangan Exco Kerajaan Negeri untuk bergerak.
CHEMOR – Lebih 10 tahun terlantar di katil! Itulah yang dilalui seorang wanita menderita penyakit misteri apabila kedua-dua kakinya membesar sehingga saiz luar biasa menyebabkan dia tidak mampu untuk bergerak.
Nor Fazilah Mohd Zahari, 33, berkata, sejak menderita penyakit tersebut, pergerakannya menjadi terbatas dengan berat badannya mencecah 200 kilogram (kg) menyebabkan dia banyak menghabiskan masa di dalam bilik.
“Setiap kali kaki membengkak, kulit saya akan mengelupas dan kaki mula berair. Saya fikirkan apabila air keluar, bengkak kaki akan surut namun, sebaliknya berlaku.
“Ujian X-ray sebelum ini tidak dapat mengesan punca sebenar penyakit ini. Saya juga menjalani ujian untut tetapi doktor tidak dapat mengesannya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Chepor Damai di sini, semalam.
Menurutnya, wang pencennya setelah menamatkan perkhidmatan sebagai pembantu perubatan klinik pergigian gagal untuk menampung keperluan hidup.
“Dengan pencen hanya RM270, saya perlu menerima rawatan di klinik dengan bayaran RM80 setiap kali selain perlu membayar kembali pinjaman yang terdahulu,” katanya.
Nor Fazilah berkata, dia bersyukur apabila kerajaan negeri sedia membantu dengan menyediakan kerusi roda khas bagi membolehkan dia menerima rawatan mahupun menghirup udara segar di kawasan rumahnya.
“Kerusi roda yang disumbangkan oleh Exco Kerajaan Negeri, Datuk Rusnah Kassim sedikit sebanyak membolehkan saya bergerak untuk mendapatkan rawatan di Jabatan Ortopedik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
“Ia juga merealisasikan impian saya untuk bersiar-siar di kawasan persekitaran bandaraya ini setelah lama terperap dalam bilik,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh salurkan ke akaun Bank Islam Nor Fazilah Mohd Zahari di nombor 08013023309119 atau menghubunginya di talian 012-5657182.
No comments:
Post a Comment