JAKARTA – Indonesia akan mengeluarkan permit untuk mengimport tambahan sebanyak 50,000 ekor lembu, kata pemerintah selepas harga daging lembu di kepulauan itu melambung tinggi.
Perkembangan itu berlaku selepas penjual-penjual daging di India mengadakan mogok kerana membantah keputusan pemerintah mengurangkan import lembu Australia.
Menteri Ekonomi, Sofyan Djalil mengumumkan perkara itu kelmarin tetapi tidak menyebut tempoh yang diberikan bagi mengimport ternakan tersebut.
“Saya memberi kelulusan kepada agensi-agensi logistik negara untuk mengimport sebanyak 50,000 ekor lembu hidup,” katanya kepada wartawan di Jakarta sambil menambah, langkah itu adalah untuk jangka pendek.
Beliau tidak menyebut dari mana ternakan itu akan diimport tetapi kebanyakan daging lembu Indonesia berasal daripada ternakan Australia.
Jakarta pada bulan lalu mengumumkan penetapan kuota sebanyak 50,000 ekor untuk lembu import dari Australia bagi suku kewangan ketiga bermula dari Julai hingga September depan, kurang 80 peratus berbanding suku sebelumnya.
Langkah itu dilaksanakan selepas Indonesia merancang untuk bergantung kepada bekalan lembu domestik bagi memenuhi keperluan penduduk di negara itu. Namun, keputusan tersebut mengejutkan penternak-penternak lembu Australia ekoran Indonesia merupakan pasaran terbesar mereka.
Keputusan pemerintah itu turut menyebabkan harga daging lembu melonjak sehingga 130,000 rupiah (RM37.83) sekilogram di beberapa kawasan di Indonesia, meningkat daripada 90,000 rupiah (RM26.19) sebelum ini. – AFP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0812&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3iYCZPHBr
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment