PUTRAJAYA - Hanya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak boleh menjawab soalan berkaitan wang sejumlah RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadinya.

Pengerusi Transparency International, Jose Ugaz berkata, segala usaha kerajaan untuk mengatasi masalah rasuah tidak akan berjaya sekiranya masih ada jawapan yang belum dijawab dalam isu wang RM2.6 bilion.

“Siapa yang bayar wang itu dan mengapa? Ke mana wang itu pergi?

“Seseorang boleh menjawab soalan-soalan itu. Jika ia tidak berlaku, maka hanya siasatan yang bebas dan tiada campur tangan politik boleh mendedahkan kebenaran,” katanya dalam ucapan pembukaan di Persidangan Anti Rasuah Antarabangsa (IACC) di sini, hari ini.

Ucapan Jose turut mendapat tepukan gemuruh daripada lebih 1,000 delegasi daripada 135 negara yang menyertai persidangan tersebut.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mustafar Ali, Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Akhbar Satar dan Pengerusi Majlis IACC, Akere Muna.

Menurut beliau, kerajaan Malaysia juga tidak mempunyai kredibiliti untuk memberi kenyataan berkaitan isu anti rasuah selagi Najib tidak memberi jawapan.

Dalam pada itu, Jose berkata, terdapat pelbagai tindakan oleh kerajaan yang dilihat tidak mencerminkan usaha untuk membanteras rasuah.

“Dalam beberapa minggu ini, kita lihat Peguam Negara ditukar secara tiba-tiba, pasukan petugas khas 1MDB dibubarkan, penyiasat SPRM ditahan dan dipindahkan, serta penggantungan surat khabar yang melaporkan isu ini.

“Ini bukannya tindakan oleh kerajaan yang mahu memerangi rasuah,” katanya.