KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertanggungjawab untuk membersih dan mengutip sampah di ibu negara dan tidak wajar kos pembersihan itu ditanggung oleh penganjur Bersih 4.0.
Demikian kata Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah sambil menegaskan pihaknya akan mencabar perkara tersebut di mahkamah terlebih dahulu.
"Kita kena tunggu sehingga bil atau notis daripada peguam DBKL dan kita akan lawan mereka di mahkamah..bukan sebab kita tak nak bayar, tapi kita akan cabarnya.
"Menjadi tanggungjawab DBKL untuk membersihkan jalan dan bagaimana dia nak tuduh kita kerana ada peserta membuang sampah," katanya kepada pemberita di pekarangan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Bukit Aman, di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan semalam yang akan menghantar bil tuntutan pembersihan berjumlah RM65,000 kepada penganjur Bersih 4.0 dalam masa terdekat.
[ARTIKEL BERKAITAN: 'Maria Chin jangan belanja habis']
Abdul Rahman juga berkata, kos tersebut berdasarkan kerja-kerja membersih dan mengutip sampah sarap yang ditinggalkan peserta Bersih 4.0 pada Sabtu dan Ahad lalu.
Bagaimanapun katanya lagi, jumlah tersebut tidak termasuk kos kerosakan harta benda awam yang terpaksa ditanggung DBKL dan pihak berkuasa tempatan lain di negeri lain akibat penganjuran perhimpunan tersebut.
Sebelum ini, Bersih dilaporkan mendapat sumbangan derma dan kutipan daripada jualan kemeja-T bernilai RM1.5 juta
.
No comments:
Post a Comment