SHAH ALAM - Bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas (SB) Bukit Aman, Datuk Abdul Hamid Bador mengesahkan menerima surat tuntutan penjelasan daripada Ketua Polis Negara berikutan mengadakan sidang media 23 Ogos lalu.

Abdul Hamid berkata, surat berkenaan diterimanya petang tadi.

"Saya sudah terima surat meminta penjelasan daripada IGP (Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar) petang tadi.

"Pihak IGP menghendaki saya menjawab secara bertulis kepada bahagian tatatertib Bukit Aman dalam masa dua minggu," katanya kepada Sinar Online.

Sebelum ini, Abdul Hamid mencetuskan kontroversi dengan mengadakan sidang media bagi menjawab perpindahannya ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan 'menegur' Putrajaya berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Tegur Putrajaya: Bos SB sedia hadapi risiko ]

"Surat perjawatan Jabatan Perkhidmatan Awam belum dapat tapi surat minta penjelasan cepat pula sampai kat saya," katanya sinis.

Tambahnya, beliau akan menjawab sebenar-benarnya dan sejujurnya kenapa bertindak sedemikian.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid yang sepatutnya melaporkan diri di JPM selewat-lewatnya 17 September ini telah berbuat demikian semalam.

"Saya telah lapor diri semalam kerana cuti yang diambil selepas arahan pertukaran 17 Ogos lalu telah berakhir.

"Selepas lapor diri, saya ambil cuti semula kerana perjawatan saya belum ada, buat apa nak makan gaji buta," katanya.