Thursday, September 3, 2015

Bank sperma Britain gesa lelaki bukti 'kelelakian'

KHAMIS, 3 SEPTEMBER 2015 @ 10:33 AM

KEKURANGAN bekalan di bank sperma Britain.

LONDON: Peneraju bank sperma Britain menggesa kaum lelaki membuktikan kelelakian masing-masing dan membantu mengurangkan masalah kekurangan bekalan, selepas hanya sembilan peserta mendaftar sebagai penderma sejak setahun ditubuhkan. Ketua Eksekutif, Laura Witjens, berkata kepada akhbar Guardian, jika beliau mengeluarkan iklan menyeru lelaki membuktikan kelelakian mereka, mungkin tidak mustahil pihaknya mendapat beratus penderma. "Itulah yang dilakukan Denmark. Mereka dengan bangganya berkata ini adalah penjajahan Viking, eksport dari Denmark adalah bir, Lego dan sperma. Ia satu kebanggaan," katanya. Bank sperma terbesar Denmark, milik syarikat persendirian, Cryos berkata, ia mempunyai lebih 450 penderma dan mengeksport sperma kepada lebih 80 negara. Guardian berkata, kempen iklan bertemakan 'Superman' mempunyai mesej serius kerana penderma perlu memiliki sperma cukup kuat untuk terus hidup ketika proses pembekuan dan nyah beku. Akhbar itu juga memetik Witjens sebagai berkata, kesukaran proses itu adalah sebab mengapa klinik terbabit tidak mempunyai ramai penderma setelah hampir setahun beroperasi. Beliau juga memaklumkan kepada BBC, bank itu mempunyai seorang penderma daripada setiap 100 pertanyaan. Penderma yang diluluskan perlu datang ke klinik dua kali seminggu selama empat bulan dan perlu mengelak melakukan hubungan seks atau onani selama dua hari setiap kali lawatan. Penderma menerima 35 pound (RM225.64) untuk setiap sesi daripada Bank Sperma Negara, satu projek bersama antara Tabung Amanah Nasional Gamete dan Hospital Wanita Birmingham. Sperma manusia dijual kepada beberapa syarikat persendirian di Britain sehingga mencapai harga STG950 (RM6124.60) untuk setiap sampel selain boleh dibeli di internet. Peraturan Britain terhadap kerahsiaan yang diperkenalkan pada tahun 2005, menyebabkan semua kanak-kanak hasil sperma penderma mempunyai hak apabila berusia 18 tahun untuk mengenai maklumat penderma.- Reuters

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/79141

No comments:

Post a Comment