Gambar yang diedarkan Kremlin menunjukkan kemampuan Vladimir Putin mengangkat berat di gimnasium kediamannya berdekatan Sochi, Rusia, baru-baru ini. Agensi
MOSCOW 1 Sept. - Kerajaan Rusia menyiarkan gambar-gambar terbaharu Presiden, Vladimir Putin bersenam di gimnasium bersama Perdana Menteri, Dmiry Medvedev, imej-imej yang kelihatan menunjukkan sifat maskulin pemimpin nombor satu Rusia itu, ketika popularitinya kini menurun.
Sambil memakai kemeja-T berwarna putih, seluar trek, dan kasut, Putin menunjukkan kemampuannya mengangkat berat untuk menarik perhatian rakyat seperti sebelum ini di mana beliau menunggang kuda, menerbangkan jet supersonik, dan memburu harimau.
Populariti Putin menurun ekoran ekonomi Rusia yang lembab dan kejatuhan mata wang Ruble sejak tahun lepas susulan kejatuhan harga minyak dan sekatan Barat terhadap Moscow ekoran peranan negara ini dalam krisis di Ukraine.
Selepas mereka berdua bersenam di kediaman Putin berdekatan Sochi, kedua-dua ahli politik Rusia itu menjamu selera dengan makan daging bakar dan minum teh, lapor akhbar Daily Mail.
Namun mengikut standard Barat, rating Putin kekal tinggi.
Satu tinjauan pendapat oleh Public Opinion Foundation yang diterbitkan empat hari lalu oleh akhbar perniagaan, Vedomosti menunjukkan 72 peratus rakyat Rusia tetap memilih Putin pada bulan ini, namun menurun daripada 76 peratus berbanding Mei lalu.
No comments:
Post a Comment