Thursday, September 3, 2015

Harga minyak terus merudum di pasaran Asia


SINGAPURA – Harga minyak terus merudum di Asia semalam berikutan pedagang mengambil kira maklumat pengeluaran lemah di Amerika Syarikat (AS) dan China, sementara jangkaan stok simpanan AS semakin rendah turut diambil kira dalam dagangan.
Penanda aras AS, West Texas Intermediate (WTI) untuk penghantaran bulan Oktober jatuh AS$1.03 (RM4.34) kepada AS$44.38 (RM186.93) sementara minyak mentah Brent untuk Oktober turut jatuh $1.02 (RM4.30) kepada AS$48.54 (RM204.45) ketika dagangan sebelah petang.
WTI menurun AS$3.79 (RM15.96) dan Brent jatuh AS$4.59 (RM19.33) kelmarin selepas China dan AS sebagai dua pengguna minyak mentah utama dunia melaporkan data aktiviti pengilangan yang lemah.
Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Beijing untuk sektor pembuatan menurun ke tahap terendah dalam tiga tahun kepada 49.7 mata bagi bulan Ogos daripada 50.0 mata pada Julai lalu. Bacaan di bawah 50 mata menunjukkan pengecutan industri.
Institut Pengurusan PMI AS juga jatuh kepada 51.1 mata, tahap paling rendah untuk tahun ini berbanding 52.7 mata pada Julai lalu.
“Dengan PMI pembuatan tidak menunjukkan hasil diharapkan, pasaran-pasaran dunia mencatatkan penurunan sekali lagi. Pasaran kini bertumpu kepada kenaikan dan penurunan, menyebabkan turun naik mendadak harga minyak,” kata penganalisis pelaburan di syarikat Phillip Futures di Singapura, Daniel Ang.
Ang memaklumkan pedagang menjangkakan harga minyak terus jatuh selepas pendedahan laporan stok simpanan AS semalam untuk seminggu sehingga 28 Ogos ini.
Penganalisis bahan api menjangkakan peningkatan 900,000 tong bekalan minyak di AS, lapor rangkaian televisyen Bloomberg News. Lonjakan stok simpanan kebiasaannya menandakan permintaan yang rendah. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0903&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3kd4MWGnv 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment