Saturday, October 31, 2015

PAS tidak akan lepas 8 kerusi kepada DAP



Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman
KUALA LUMPUR: PAS akan terus mempertahankan lapan kerusi yang ditandinginya sebelum ini di Selangor pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, biarpun DAP hendak meletakkan calon di situ.
Perkara itu diumumkan oleh Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau menyifatkan, pengumuman peletakan calon di lapan kerusi itu oleh Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua seperti lebih mewakili pihak ketiga, berikutan sebelum ini, Parti Amanah Negara (AMANAH) turut menyatakan hasrat sama.
"Kita menghormati demokrasi dan kita akan mengekalkan kerusi kita yang ditandingi dalam pilihan raya lalu.
"Tidak timbul soal berundur atau memberi laluan kepada DAP. Biar rakyat yang tentukan parti mana pilihan mereka kelak.
"Pendirian PAS Selangor adalah tetap mempertahankan kerusi yang ada walau apapun keputusan yang bakal di terima kelak," katanya.
Khairuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, turut mempersoalkan rasional DAP hendak bertanding di kerusi yang memiliki 70 peratus pengundi Melayu, kerana parti itu sejak penubuhannya lebih memilih untuk meletak calon di kawasan majoriti pengundi Cina.
"Apa rasional DAP nak bertanding di kerusi yang di dalamnya 70 peratus pengundi Melayu? Ini bukti suara DAP adalah suara Parti Amanah Negara yang mahukan kerusi PAS," katanya.
Khairuddin juga mendakwa, tindakan itu juga diambil berikutan keengganan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali untuk menerima kehadiran Pakatan Harapan di negeri berkenaan.
Tony Pua dalam satu sidang media di ibu negara hari ini, turut menyatakan lapan kawasan DUN yang menjadi sasaran parti itu adalah Taman Templer, Lembah Jaya, Paya Jaras, Sri Serdang, Meru, Chempaka, Dusun Tua dan Tanjung Sepat.

No comments:

Post a Comment