Setengah induvidu yang 'ketagih' dengan telefon bimbit didapati boleh memeriksa gajet berkenaan 85 kali sehari yang juga bersamaan dengan lima jam. Agensi
LONDON 30 Okt. - Kebanyakan daripada kita akan mencapai telefon pintar sejurus terjaga daripada tidur dan alat telekomunikasi itu jugalah objek terakhir yang akan dipegang sebelum tidur.
Namun, tahukah kita kekerapan pengguna memeriksa telefon bimbit masing-masing?
Satu kajian dijalankan oleh Universiti Nottingham Trent, United Kingdom mendapati, seseorang pengguna akan memeriksa telefon bimbitnya sebanyak 85 kali sehari bersamaan tempoh lima jam.
Kekerapan itu lebih tinggi berbanding yang dijangkakan pengguna sendiri.
Mail Online melaporkan, kajian dilakukan terhadap responden berusia 18 hingga 33 tahun menggunakan aplikasi yang dimuat turun di dalam telefon pintar mereka bagi mengira kekerapan penggunaan gajet tersebut dalam tempoh dua minggu.
Aktiviti yang direkod termasuk memeriksa waktu, pemberitahuan mesej atau media sosial, menjawab panggilan telefon, dan mendengar muzik.
Keputusan kajian itu yang diterbitkan dalam jurnal Plos One mendapati, kebanyakan responden memeriksa telefon bimbit dua kali lebih banyak berbanding yang mereka sangkakan.
Penyelidik mendapati, setiap responden juga menghabiskan masa sekurang-kurangnya 30 saat pada satu-satu masa untuk memeriksa telefon bimbit mereka.
Ahli psikologi dan pensyarah universiti berkenaan, Dr Sally Andrews berkata, keputusan kajian itu memperlihatkan hubungan antara pengguna dengan tabiat memeriksa telefon mereka.
“Pengguna tidak sedar tentang kekerapan mereka memeriksa telefon bimbit masing-masing.
“Ini adalah kajian pertama menunjukkan tindakan memeriksa telefon bimbit telah menjadi rutin dalam kehidupan seharian,” ujarnya.
Jelasnya, ada sesetengah pengguna mungkin memeriksa telefon bimbit lebih kerap, namun tidar sedar dengan ‘ketagihan’ yang dialami.
No comments:
Post a Comment