|
BEIJING – Kebanyakan warga China menyambut perubahan dasar polisi kepada dua anak yang diumumkan kelmarin dengan berhati-hati memandangkan kos sara hidup yang semakin tinggi, aspirasi kerjaya serta peningkatan masalah perbandaran.
Sebelum ini, rejim perancangan keluarga satu anak yang diamalkan China sejak lebih tiga dekad lalu telah menyaksikan penguatkuasaan kejam terhadap rakyat republik itu termasuk dipaksa melakukan pengguguran bayi, kehilangan pekerjaan dan denda.
Bagaimanapun, bagi keluarga yang mampu membayar denda, mereka boleh mendapatkan anak kedua atau lebih daripada itu. Justeru, kebanyakan keluarga terikat memiliki satu cahaya mata sahaja.
Dasar itu sepatutnya menyelamatkan China daripada peningkatan populasi penduduk, namun kini menjadi penyumbang kepada lambakan warga emas yang menyebabkan kekurangan tenaga kerja ketika kuasa ekonomi kedua terbesar dunia itu mengekalkan pertumbuhan.
Polisi itu juga telah menghalang kira-kira 400 juta kelahiran di negara tersebut yang kini mempunyai populasi penduduk seramai 1.37 bilion.
Rata-rata media tempatan menggambarkan keputusan melonggarkan dasar tersebut sebagai kejayaan untuk ekonomi dan rakyatnya yang telah lama melahirkan rasa marah terhadap polisi kontroversi yang menafikan hak manusia dalam berkeluarga.
“Plan Lima Tahun terbaharu ini perlu diiktiraf sebagai satu kejayaan yang menepati kehendak rakyat,” tulis akhbar arus perdana, Global Times.
Tetapi perubahan itu mungkin telah terlambat kerana ramai golongan muda di China yang membesar sebagai anak tunggal, melihat lebih banyak kos daripada manfaat dalam memiliki anak kedua.
Polisi baharu itu turut menjadi subjek utama dalam kalangan pengguna media sosial dengan isu berkenaan menduduki tangga kelapan bagi topik rending di mikro-blog Sina Weibo.
Satu tinjauan yang dilakukan semalam terhadap lebih 150,000 orang di laman tersebut mendapati, kurang daripada 30 peratus responden mahu memiliki anak kedua.
“Sewa apartmen sekarang semakin mahal. Siapa yang mampu untuk mempunyai ramai anak?” komen seorang pengguna internet. – AFP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1031&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3q5kVp99T
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment