KUALA LUMPUR - Kerajaan telah menambah baik terma-terma perjanjian berkenaan kenaikan kadar tol dengan syarikat konsesi lebuh raya sedia ada, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof.
Antara terma yang ditambah baik itu ialah memansuhkan kenaikan kadar tol secara automatik walaupun sudah ditetapkan tempoh masa tertentu bagi kenaikan dalam perjanjian sebelum ini.
"Setiap kali ada permohonan (dari syarikat konsesi) untuk kenaikan tol, kita akan melihat dan kaji balik semua kenyataan syarikat. Adakah mereka mencapai anggaran aliran trafik yang melalui kawasan itu.
"Kalau aliran trafik (di lebuh raya) mencapai seperti yang dianggarkan, maka kita tidak akan benarkan kenaikan tol," katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2016 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kerja Raya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menurutnya jika aliran trafik di lebuh raya berkenaan tidak mencapai anggaran sepatutnya, kerajaan mungkin membenarkan kenaikan kadar tol kerana komitmen kewangan yang terpaksa ditanggung oleh syarikat konsesi.
Fadillah berkata, kadar tol sesuatu lebuh raya ditentukan oleh kos pembinaan dan anggaran aliran trafik, dan kenaikannya dikaji semula setiap tempoh masa tertentu seperti yang termaktub dalam perjanjian.
Beliau berkata, terma lain yang ditambah baik ialah kerajaan boleh menamatkan perjanjian lebih awal dari tarikh yang dipersetujui dalam perjanjian jika syarikat konsesi mencapai keuntungan yang tertentu.  
Menurutnya kerajaan dari semasa ke semasa mengadakan perbincangan dengan syarikat konsesi, pemegang bon dan pembiaya projek lebuh raya mengenai kadar tol.
"Kita kena mengimbangi beberapa perkara seperti kemampuan kerajaan, kepentingan syarikat konsesi dan kepentingan pengguna," katanya.
Dalam pada itu, Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petrajaya menegaskan kerajaan akan perlu menanggung pembiayaan beratus bilion ringgit jika bercadang mengambil alih semua lebuh raya di negara ini, dan langkah itu bukanlah tindakan yang wajar.
Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok. - Bernama