Friday, November 20, 2015

PAS jadi pembangkang di Pulau Pinang

KUALA LUMPUR: PAS hari ini mengisytiharkan untuk menjadi pembangkang di Pulau Pinang berikutan tindakan kerajaan negeri itu yang memecat 300 anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) daripada kalangan anggota PAS di negeri berkenaan.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, ekoran tindakan itu PAS tiada pilihan lain dan perlu bertindak sebagai pembangkang kepada bekas rakan sekutu mereka dalam Pakatan Rakyat yang membentuk kerajaan negeri Pulau Pinang.
"Itu pendirian kami, kami pembangkang di peringkat negeri di Pulau Pinang dan kami bersendirian," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen di sini hari ini.
Awal hari ini kerajaan DAP Pulau Pinang mengesahkan pemecatan 300 anggota JKKK PAS di negeri itu, menerusi satu kenyataan media.
Bagaimanapun, Takiyuddin berkata, PAS akan menjadi pembangkang yang matang dan berprinsip dan berbeza dengan pembangkang lain termasuk pembangkang rasmi negeri itu iaitu UMNO.
"UMNO pembangkang rasmi. Kami pembangkang kepada bekas rakan sekutu kami (DAP).
"Kami tidak mahu komen mereka yang tidak dipecat, pandangan kami kepada DAP ialah utamakan khidmat kepada rakyat, jangan pentingkan politik yang tidak menguntungkan rakyat," katanya.
Takiyuddin berkata, parti itu menerima pemecatan berkenaan dan akan terus memberi khidmat kepada rakyat di semua peringkat di seluruh negeri itu walaupun diketahui tiada peruntukan yang akan diperoleh.
"Kerajaan Pulau Pinang tidak akan beri lagi peruntukan untuk bantu rakyat tapi kami akan berusaha mencari duit sendiri dan membangkitkan isu rakyat untuk diambil tindakan oleh kerajaan negeri," katanya.
Katanya PAS adalah parti yang bersama Pakatan Rakyat yang tidak boleh dinafikan telah membantu memenangkan DAP di Pulau Pinang.
"Walaupun kami hanya menang satu kerusi tetapi kami ada ahli di seluruh negeri itu," kata Takiyuddin. - Bernama
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2015 @ 11:01 PM


TAKIYUDDIN Hassan. FOTO arkib NSTP Yazit Razali
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/94294#sthash.IJDSmfab.dpuf

No comments:

Post a Comment