|
AMSTERDAM – Sebuah rimba akan ditanam di Taman Vijhuizen, dekat Lapangan Terbang Schipol di sini bagi memperingati mangsa-mangsa Penerbangan Malaysia MH17 yang terkorban, lapor media Belanda kelmarin.
Monumen kebangsaan itu akan merangkumi 298 batang pokok, satu untuk setiap mangsa pesawat malang itu, kata Yayasan Nahas MH17 kepada agensi berita ANP.
“Waris-waris mangsa mengundi untuk tempat paling sesuai dan mereka memilih Taman Vijhuizen di mana kesemua 298 pokok itu akan ditanam,” kata yayasan itu.
Pokok-pokok itu disusun menyerupai bentuk reben hijau gergasi, simbol yang dipakai oleh waris mangsa bagi memperingati nahas pada 17 Julai 2014 itu. Satu dewan teater akan turut dibina di tengahnya.
Pokok-pokok itu kelak akan dipasang dengan lampu yang dihidupkan pada waktu malam dan dikelilingi tumbuhan bunga matahari yang mekar pada 17 Julai, setiap tahun.
“Kami mahu menjadikan kehilangan ini dapat dilihat dengan membina sebuah monumen hidup.
“Kami mahu mewujudkan sebuah tempat di mana kenangan ini akan terus hidup, tempat di mana mangsa-mangsa MH17 akan terus hidup dalam ingatan waris mereka,” menurut yayasan itu di laman webnya.
Pada bulan lalu, pasukan penyiasat diketuai Belanda merumuskan bahawa pesawat milik Penerbangan Malaysia itu ditembak jatuh menggunakan sebuah peluru berpandu BUK buatan Rusia dari kawasan yang dikuasai pemberontak pro-Rusia di timur Ukraine.
Semua penumpang dan kru kapal terbang jenis Boeing 777 itu terbunuh semasa dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur selepas berlepas dari Lapangan Terbang Schipol.
Monumen itu dirancang untuk dibuka pada 17 Julai, 2017. – AFP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1128&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3sjSxHrEC
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment