Taman Vijfhuizen berdekatan Lapangan Terbang Schipol, Amsterdam akan menjadi lokasi taman memorial nasional bagi memperingati mangsa-mangsa terbunuh dalam tragedi pesawat MAS MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine. AFP
THE HAGUE 27 Nov. – Satu taman memorial berkonsep alam semula jadi akan dibina berhampiran Lapangan Terbang Schiphol, Amsterdam bagi memperingati mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17, lapor media Belanda semalam.
Monumen nasional yang akan dibina itu bakal menempatkan 298 pokok, setiap satu pokok tersebut mewakili mangsa yang terkorban, kata Yayasan Bencana Penerbangan MH17 kepada agensi berita ANP.
“Ahli keluarga mangsa melakukan undian untuk memilih tempat yang paling sesuai dan taman Vijhuizen telah dipilih,” kata yayasan itu.
Pokok tersebut akan ditanam membentuk reben gergasi hijau bagi melambangkan simbol yang digunakan ahli keluarga mangsa, selain turut menempatkan sebuah pentas di tengah-tengahnya.
Tiga cadangan telah dikemukakan pada awal November untuk membina monumen bagi mempe-ringati mangsa pesawat MH17 yang kebanyakannya warga Belanda selepas pesawat itu ditembak jatuh di Ukraine pada 17 Julai 2014.
“Kebanyakan ahli keluarga mengundi untuk projek taman di Schiphol yang menjadi lokasi ter-akhir mangsa menaiki pesawat ter-babit,” kata yayasan itu.
Yayasan Dana Hutan Nasional berkata, pokok-pokok tersebut akan disinari cahaya lampu setiap malam selain bunga matahari mekar akan ditempatkan di sana pada 17 Julai setiap tahun.
“Kami ingin bina satu kawasan yang boleh menjadi ingatan dan kenangan buat keluarga mangsa,” kata yayasan itu.
Penyiasat Belanda membuat kesimpulan bahawa pesawat MAS itu ditembak jatuh oleh peluru berpandu BUK buatan Rusia di wilayah bergolak di timur negara Ukraine pada bulan lalu.
Monumen ini dirancang untuk dibuka pada 17 Julai 2017. – AFP
No comments:
Post a Comment