Bagan Datoh: Ada di antara pengganas yang menceroboh Kampung Tanduo, Lahad Datu sejak 12 Februari lalu keluar senyap-senyap dari tempat persembunyian untuk mencuri makanan di beberapa lokasi tertentu kerana kelaparan akibat kepungan anggota keselamatan negara.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengganas terbabit dilapor mencuri makanan di rumah kongsi dan kedai makan.
Katanya, saki-baki kumpulan pengganas itu semakin terdesak akibat ketiadaan bekalan makanan dan minuman kerana dikepung pihak keselamatan di kawasan kecil.
“Ketuanya sudah meninggalkan mereka, moral mereka terlalu rendah sekarang dan masyarakat di Sabah tidak menyokong tindakan mereka, ertinya mereka tidak dapat bantuan maklumat dan juga sokongan moral keturunan Sulu di negeri Sabah.
“Kita harap masyarakat setempat dapat lebih berhati-hati kerana mereka lapar dan tindakan mereka lebih agresif,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan 120 komputer untuk sekolah rendah kebangsaan dan jenis kebangsaan terpilih, di sini, semalam.
Muka depan akhbar ini Jumaat lalu melaporkan, pengganas yang kini semakin kekurangan sumber makanan dikesan mula keluar dari kawasan persembunyian dan menemui penduduk kampung, sekurang-kurangnya untuk mendapatkan bekalan makanan.
Ini berikutan tiga laporan polis dibuat penduduk kampung memaklumkan mereka didatangi pengganas yang meminta diberikan air minuman di beberapa lokasi berasingan dalam gugusan Felda Sahabat dalam tempoh dua hingga tiga hari lalu.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid berkata, kerajaan akan berbincang dengan pihak berkuasa bagi membenarkan diplomat Filipina di negara ini melawat suspek pengganas yang ditahan.
Katanya, beliau akan berbincang dengan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan Polis Diraja Malaysia bagi tujuan itu.
“Diplomat Filipina, termasuk dutanya di Kuala Lumpur, mungkin dibenar melawat selepas urusan soal siasat oleh pihak keselamatan ke atas suspek selesai sepenuhnya,” katanya.
Pada masa sama, Ahmad Zahid juga menyangkal laporan portal berita Philippine Daily Inquirer bahawa Malaysia menyekat pasukan kemanusiaan dan media Filipina daripada berjumpa rakyat negara itu yang ditahan di pusat pemindahan di Lahad Datu.
Menurut Ahmad Zahid, semua media asing, termasuk dari Filipina, bukan saja dibenar berada di pusat media di Felda Sahabat, tetapi juga dibawa ke kawasan Operasi Daulat bagi mendapat gambaran sebenar, susulan ada dakwaan pihak keselamatan negara ini bertindak zalim dan mengetepikan hak asasi manusia.
No comments:
Post a Comment